BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Tazkirah, Ramadan On Wheels imarahkan bulan Ramadan

KUCHING:Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak giat mengadakan program Tazkirah On Wheels dan Ramadan On Wheels di setiap daerah di Sarawak dalam usaha mengimarahkan bulan Ramadan.

Tujuan program adalah untuk menerapkan konsep bersedekah dalam kalangan masyrakat yang menjadi tuntutan penganutnya di bulan ramadan di samping sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang sedang berjuang menghadapi pendamik Covid-19.

Di zon tengah Sarawak, antara daerah yang telah melaksanakan program murni ini termasuk Bintulu, Daro, Balingian, Julau dan Matu dengan menyasarkan lokasi seperti Ibu Pejabat Polis Daerah, Klinik Kesihatan, Pejabat Pos, Majlis Daerah serta masjid daerah bagi pengagihan bubur lambuk, buah kurma dan juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan dan masyarakat setempat. 

Di samping itu, pihak jabatan turut mengambil inisiatif menyampaikan maklumat tentang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta amalan normal baharu dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

Rata-rata masyarakat setempat menyambut baik program ini dan amat menghargai sumbangan yang dihulurkan serta turut mempraktikkan normal baharu, penjarakan sosial satu meter ketika ditemui petugas lapangan semasa sesi pengagihan.

Pegawai RELA Daerah Julau, Sylverstine Banchang, 36, berkata sebagai petugas barisan hadapan sepanjang tempoh PKP dan PKPB ini beliau berterima kasih kepada JAPEN yang telah memberi sumbangan juadah berbuka puasa kepada petugas RELA di Julau dan program seumpama ini dapat mengeratkan silaturahim dan perpaduan di kalangan petugas yang berbilang kaum, bangsa dan agama.
Menurut Sylverstine, program sebegini wajar dilaksanakan setiap tahun bagi mewujudkan perhubungan baik antara pelbagai jabatan kerajaan serta meningkatkan semangat petugas untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Sementara itu, Penghulu Kampung Sekaan Besar Matu, Abdul Rahman Su’ut, yang telah turut serta semasa sesi tazkirah di Masjid Daerah Matu menerima baik usaha JAPEN dalam menyampaikan maklumat berkaitan PKP serta PKPB dan wabak Covid-19.
 
Program ‘Tazkirah On Wheels’ dan ‘Ramadan On Wheels’ yang diadakan di seluruh Sarawak ini merupakan sebahagian daripada aktiviti "Info On Wheels" (IOW) yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Malaysia sejak 28 Januari lepas berikutan penularan wabak Covid-19.

Perlaksanaan IOW oleh pihak JAPEN di seluruh negara termasuk negeri Sarawak adalah sejajar dengan objektif jabatan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat terhadap dasar, program dan inisiatif kerajaan.

Antara aktiviti IOW yang telah dilaksanakan adalah interaksi bersemuka petugas lapangan dengan memberi penerangan serta mengedar risalah wabak Covid-19 dan menghebahkan maklumat menerusi pasukan Unit Kenderaan Bergerak berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di setiap daerah.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »