BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Tambang bas RM1 seluruh Sarawak

MIRI, 16 Mei -- Kementerian Pengangkutan Sarawak hari ini mengumumkan kadar rata tambang perkhidmatan awam bagi bas henti-henti di empat bandar utama di negeri ini kini ditetapkan pada RM1.

Menterinya, Datuk Lee Kim Shin berkata syarikat-syarikat bas di bandar raya Kuching dan Miri, bandar Sibu dan Sarikei yang diisytiharkan zon hijau dan kuning pandemik COVID-19 kini boleh beroperasi dengan kadar tambang RM1 itu.

Menurutnya, tiga syarikat bas di bandar raya Miri iaitu Miri City Bus Sdn Bhd, Miri Belait Transport Co. Bhd dan Miri Transport Co. Bhd akan memulaksan operasi dengan kadar tambang RM1 itu pada 18 Mei ini.

“Pelaksanaan tambang kadar rata RM1 telah tertangguh berikutan pandemik COVID-19. Namun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri baru-baru ini telah memberi kebenaran kepada syarikat-syarikat bas di zon hijau dan kuning meneruskan operasi mereka.

“Dengan kebenaran itu syarikat-syarikat bas di Miri, Sibu, Sarikei dan kini Kuching yang telah diisytiharkan sebagai zon kuning boleh memulakan operasi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata, semua syarikat bas yang ingin memulakan operasi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelakkan terdedah dengan penularan pandemik COVID-19 di samping memaklumkan jadual serta laluan kepada orang ramai melalui media massa.

Katanya, kajian yang dibuat kementeriannya sebelum ini mendapati perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini merekodkan penurunan jumlah penumpang dan antara alasannya ialah persaingan sengit daripada perkhidmatan awam lain seperti van dan e-hailing.

“Bagi menangani cabaran dihadapi syarikat-syarikat bas dan membantu pengguna khususnya daripada kalangan kumpulan pendapatan rendah, Kementerian Pengangkutan Sarawak telah mengemukakan cadangan pelaksanaan tambang kadar rata RM1 di Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata, cadangan itu merupakan manifestasi kerajaan negeri Sarawak untuk membantu syarikat-syarikat bas meningkatkan perkhidmatan dan menjaga kepentingan golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada bas untuk memenuhi keperluan mobiliti mereka.

Katanya, objektif utama pelaksanaan itu adalah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam seperti bas selain memberi peluang kepada syarikat-syarikat bas meningkatkan perkhidmatan dan membantu mengurangkan kesesakan trafik di bandar negeri ini.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »