BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

SPRM teliti cadangan penangguhan Seksyen 17A, ambil kira kekangan syarikat


KUALA LUMPUR, 5 Mei -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti cadangan penangguhan pelaksanaan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sepatutnya dilaksanakan 1 Jun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata ini kerana terdapat permintaan terutama daripada syarikat yang tidak bersedia dari segi pelan antirasuah yang bersesuaian. 

“Selain itu mereka juga sedang mengalami masalah perniagaan yang sedang merudum susulan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada perniagaan mereka.

“Mereka meminta untuk mengambil masa dalam tempoh lebih kurang satu tahun untuk menjana semula perniagaan mereka sebelum melaksanakan Seksyen 17A ini,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini hari ini. 

Menjelas lanjut, Azam berkata pihaknya prihatin dengan nasib yang menimpa syarikat yang terlibat dan akan mengambil kira pandangan beberapa pihak sebelum dimaklumkan kepada kerajaan untuk diputuskan.

“Saya memberi jaminan cadangan ini memang akan kami pertimbangkan sebaiknya walaupun kami sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Seksyen 17A ini,” katanya. 

Seksyen 17A Akta SPRM 2009 diluluskan di Parlimen pada 5 April 2018, memperuntukkan undang-undang yang membolehkan syarikat terlibat rasuah didakwa.

Sebelum peruntukan itu wujud, Akta SPRM 2009 hanya tertumpu kepada pendakwaan atas natural person iaitu individu yang terlibat dengan rasuah sahaja.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »