BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Selamat Ari Gawai, Abang Jo

KUCHING - “Saya percaya tidak kurang juga kaum Dayak yang berada di perantauan untuk mencari nafkah yang berkat, khususnya dalam industri minyak dan gas yang juga tidak dapat kembali ke Sarawak.”

“Tidak mengapa; yang penting saudara dan saudari dan kita semua selamat daripada COVID-19. Setelah keadaan kembali seperti biasa di masa hadapan kita bolehlah begawai dan bersuka ria seperti pada masa-masa yang lampau.”

Itu pesanan Ketua Menteri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam Perutusan Gawai Dayak 2020.

Beliau berkata, pada musim perayaan seperti Gawai Dayak tiada yang lebih menyeronokkan daripada berada di sisi keluarga di kampung atau rumah panjang. 

Namun, pada kali ini mungkin ramai yang tidak dapat balik ke tempat asal masing-masing oleh kerana perintah kawalan pergerakan yang tidak membenarkan merentas daerah di Sarawak.

“Kepada rakan-rakan kita dari keturunan Dayak, saya amat berharap saudara dan saudari bergembira menyambut Gawai walaupun dalam keadaan yang terhad.” 

”Bagi pihak saya sendiri dan keluarga, saya mengucapkan salam sejahtera dan selamat menyambut Hari Gawai kepada semua Anak Sarawak keturunan Dayak tidak kira di mana saudara dan saudari berada,” katanya. 

Katanya, PKPB yang berakhir pada 9 Jun tidak membenarkan perayaan Gawai disambut seperti biasa. 

“Kita tidak boleh adakan rumah terbuka, tidak boleh ngabang dan hanya dibenarkan untuk berkumpul antara ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja sebagai kaedah untuk menangani wabak COVID-19.” 

“Pihak kerajaan tidaklah mempunyai kemampuan untuk menyemak setiap rumah dan kampung tetapi saya percaya ketua kampung dan tuai rumah masing-masing akan sentiasa memastikan SOP dan protokol perayaan yang telah ditetapkan dipatuhi oleh semua orang,” kata Abang Johari.

Beliau amat berterima kasih kepada rakyat Sarawak yang faham dan akur kepada arahan Kerajaan supaya tidak diadakan rumah terbuka dan tiada perhimpunan yang melebihi 20 orang. 

Abang Jo berkata, wabak COVID 19 memberi tamparan hebat kepada masyarakat dan kerajaan di seluruh dunia.

Katanya, kerajaan amat faham dengan keadaan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat jelata dari segi bekalan makanan dan pekerjaan. 
“Saya tahu ramai yang bekerja dengan gaji harian yang terpksa balik ke kampung atau rumah panjang kerana gaji tidak dibayar oleh majikan dalam tempoh PKP dan ada yang mungkin terus hilang pekerjaan.”

“Sebanyak RM16.4 juta telah dibelanjakkan oleh Kerajaan Saeawak untuk menyediakan bekalan makanan kepada setengah juta rakyat Sarawak. Laluan udara, sungai dan darat telah digunakan untuk menghantar bekalan makanan asas ke seluruh pelusuk negeri Sarawak.”

Bagi yang jauh di pedalaman, pesawat helikopter tentera dan BOMBA telah dikerahkan, di hulu sungai dan kawasan pesisir pantai perahu digunakan dan mana-mana penempatan yang boleh didatangi oleh jalan raya lori atau kereta digunakan.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah berusaha untuk memastikan bekalan makanan sentiasa ada dan mencukupi di seluruh negeri. 

“Kerajaan Sarawak adalah satu-satunya Kerajaan Negeri yang menyediakan bantuan kepada rakyatnya selain daripada bantuan Kerajaan Persekutuan.”

“Saya amat berharap saudara, saudari, ketua isi rumah, para penjaja dan pemilik industri kecil dan sederhana yang layak sudah menerima atau sudah memohon bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.” 

Abang Jo berharap pelbagai jenis bantuan tunai dan bukan tunai ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada rakyat yang telah hilang punca pendapatan selama PKP dan PKPB dilaksanakan.

Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin katanya, perkhidmatan bank bergerak juga telah diusahakan untuk kawasan-kawasan yang tidak ada perkhidmatan mesin ATM seperti di Pakan. 

“Bank bergerak tersebut telah mengelakkan orang ramai daripada perjalanan rentas daerah yang tidak dibenarkan tanpa permit polis semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan mesin ATM,” katanya.

Selain itu, Bantuan Khas Sarawakku Sayang atau BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 meliputi; pembayaran tunai kepada golongan B40 termasuk golongan bujang berumur 21 tahun ke atas berpendapatan RM2,000 sebulan dan ke bawah; Penangguhan pembayaran pinjaman dan pinjaman mudah tanpa faedah untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS); Pengecualian untuk bayaran lesen perniagaan serta diskaun sewa gerai untuk para peniaga; Bayaran insentif bulanan untuk anggota barisan hadapan yang terlibat untuk menangani wabak COVID-19; dan Bayaran insentif kepada golongan yang hilang pendapatan akibat COVID-19. 

“Kerajaan negeri mampu menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat kerana kita mempunyai kedudukan kewangan yang agak kukuh berkat perbelanjaan yang berhemah pada dekad-dekad yang telah berlalu.”
“Suasana politik yang stabil dan perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum dan agama di negeri ini telah menjadi asas kukuh kepada pentadbiran yang baik dan tersusun.”

Menurut Abang Jo, Sarawak mempunyai rizab kewangan yang agak kukuh dan berada jauh dihadapan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

“Bak kata pepatah inggeris, we save for the rainy days, dan dana yang telah disimpan pada dekad-dekad yang lepas dan ditambah pada setiap tahun telah memberi kita sedikit keselesaan pada ketika kita menghadapi kesulitan,” katanya.

Abang Jo mengingatkan bukannya mudah untuk membina perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, terutama dengan kehadiran media sosial yang digunakan untuk menyemai bibit-bibit kebencian antara kaum. 

“Terdapat golongan tertentu pada kebelakangan ini yang cenderung untuk menimbulkan perasaan syak wasangka antara kaum di medan media sosial bagi kepentingan politik mereka.” 

“Saya menyeru supaya kita tidak terjebak dengan aktiviti seperti ini kerana permusuhan antara kaum akan merugikan kita semua.”

Katanya, sebagai rakyat Bumi Kenyalang yang sentiasa menghargai keamanan dan keharmonian, penduduknya bersyukur kerana dapat meraikan perayaan 
mengikut agama dan tradisi masing-masing dalam suasana aman dan damai. 

“Janganlah menganggap perpaduan antara rakyat kita sebagai sesuatu perkara yang enteng sahaja.”

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »