BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Sarawak masih belum benar taska, tadika beroperasi - Fatimah

KUCHING, 12 Mei -- Kerajaan negeri Sarawak masih belum membenarkan pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) di negeri ini beroperasi semula, biarpun ia sudah membenarkan pembukaan semula sektor ekonominya, mulai hari ini.

Menteri Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya bimbang ada dalam kalangan ibu bapa yang kembali bekerja di negeri ini, akan meminta pengusaha terbabit memulakan operasi mereka.

“Kita ingin ingatkan kepada pengusaha taska dan tadika (di Sarawak), jangan buka dulu taska dan tadika, kita khuatir pada hari ini ada ibu bapa yang turun berkerja, dan minta taska dan tadika dibuka, untuk menempatkan anak mereka,” katanya.

Bercakap dalam sidang media berhubung Prosedur Pasca PKP Covid-19 Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) Sarawak di sini, beliau berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, semua kanak-kanak mesti berada di rumah bersama ibu bapa mereka.

“(Arahan ini berkuatkuasa) sehinggalah pihak kami mendapat arahan bagi pengoperasian semula kedua institusi pendidikan awal kanak-kanak terbabit, iaitu selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Fatimah berkata, buat masa ini pengusaha terbabit boleh membuat persiapan bagi taska dan tadika masing-masing beroperasi semula, seperti membeli peralatan sanitasi, pembaca suhu dan melakukan kerja disinfeksi.

Katanya pengusaha juga perlu terlebih dahulu memberi taklimat kepada semua pengasuh, pendidik, dan kakitangan, tentang apa perlu mereka lakukan bila beroperasi semula, termasuk berkaitan pemeriksaan suhu dan simptom pada kakitangan dan juga kanak-kanak.

“Kita juga akan ada borang akuan pengisytiharan kesihatan kakitangan yang perlu diisi, dan ini perlu dilakukan sebelum taska dan tadika dibenarkan beroperasi,” katanya.

Pihaknya juga sudah menyiapkan Prosedur Pasca PKP Covid-19 Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) Sarawak, sebagai panduan kepada pengusaha terbabit, ibu bapa, dan kakitangan taska dan tadika, bagi memastikan keselamatan kanak-kanak di institusi pendidikan itu.

Bagi mengurangkan beban pengusaha taska dan tadika berdaftar di negeri ini, Fatimah mengumumkan kerajaan Sarawak meluluskan untuk melonggarkan pengunaan Geran Tahunan Khas (GTK) sebanyak RM5,000 bagi setiap taska dan tadika.

Fatimah berkata, geran terbabit boleh digunakan bagi pembelian barangan dan keperluan pembersihan, sanitasi, dan lain-lain persediaan, bagi memenuhi Prosedur Operasi Standard Pasca Covid-19.

Beliau berkata, tahun lepas kerajaan Sarawak memperuntukan RM16 juta bagi diberikan sebagai GTK kepada semua taska dan tadika berdaftar di negeri ini, untuk tujuan pemakanan seimbang, ‘fun learning’, pembangunan profesional pendidik dan pengasuh dan program bersama ibu bapa.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »