BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Sarawak kurangkan penerbangan dari Kuala Lumpur

KUCHING: Kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak akan dikurangkan bagi membendung penyebaran COVID-19, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin.

Katanya, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) setelah mengambil kira faktor jumlah pusat kuarantin di negeri ini.

Lee berkata, setiap penerbangan membawa ratusan penumpang dan kerajaan mahu pastikan terdapat bilik mencukupi di pusat kuarantin termasuk kekosongan bilik hotel.

“Saya sudah menghubungi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk menyampaikan keputusan JPBNS untuk mengurangkan kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jadual penerbangan yang dipersetujui ialah Kuala Lumpur - Kuching (empat kali seminggu), Kuala Lumpur - Miri (dua kali seminggu), Kuala Lumpur - Bintulu (sekali seminggu) dan Kuala Lumpur - Sibu (sekali seminggu mulai 16 Mei).

“Perkara ini sudah dibincangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Menteri Persekutuan bagi Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 30 April yang lalu dan dipersetujui untuk dilaksanakan mulai semalam (2 Mei),” katanya.

Beliau menambah, keputusan itu sudah disampaikan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia pada 30 April untuk tindakan susulan dengan syarikat penerbangan. 

“Saya mengucapkan penghargaan kepada pihak kerajaan persekutuan kerana memahami serta bekerjasama secara kolektif dengan kerajaan negeri dalam membendung penyebaran wabak COVID-19 di Sarawak,” katanya.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »