BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Rumah pusaka hangus

BATU PAHAT, 6 Mei (Bernama) -- Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusaka mereka hangus dijilat api di Kampung Baru, Senggarang, dekat sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi, mangsa dikenali sebagai Mustaffa Nawi@Nuri, 75, berkata dia bersama isterinya Maskana Nasir, 68, sedang tidur di rumah manakala anak lelakinya Samsol, 47, berada di rumah rakannya yang terletak berdekatan.

Mustaffa mengetahui mengenai kejadian itu apabila anaknya menelefon dan mengejutkannya dari tidur sebelum berjaya menyelamatkan diri.

“Mujur anak mengejutkan kami. Kami sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja, yang lain-lain termasuklah sebuah motosikal, mesin pemotong rumput dan alat pemotong pokok.

“Anggaran kerugian yang kami sekeluarga alami sekitar RM100,000. Ini adalah satu ujian buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini hari ini.
 
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  (JBPM) Johor, dalam satu kenyataan di sini mengesahkan menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.49 pagi.

Seramai 15 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit dan Ayer Hitam dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal telah hangus keseluruhannya, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.37 pagi,” menurut kenyataan itu.

Ketua Biro Kebajikan Umno  Bahagian Batu Pahat Mohd Hamidi Mad Tap berkata pihaknya telah maklum mengenai kesusahan dialami tiga beranak itu dan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Baitulmal Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk bantuan susulan.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »