BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Rakyat perlu bantuan segera, Chong

KUCHING: Kerajaan negeri perlu mengambil iktibar daripada ungkapan Maynard Keynes “in the long-run, we are all dead (dalam jangka-masa panjang, kita semua akan mati) dalam memulihkan ekonomi pasca COVID-19, kata Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen.

Menurut Keynes, jika kerajaan membiarkan ini berlaku, dalam jangka masa yang panjang rakyat akan mati. 

Hasil penyelesaian yang mengambil masa yang sangat lama, tidak wajar bagi sebuah kerajaan membiarkan rakyat menerima nasib mereka dengan menunggu.

Chong berkata, berdasarkan ungkapan Keynes itu, kerajaan perlu merumuskan strategi jangka pendek yang efektif dalam memulihkan ekonomi sebelum keadaan bertambah buruk.

Beliau mengkritik, langkah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (MTES) sebagai Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19 Sehingga Tahun 2030 sebagai  satu tamparan kepada sektor perniagaan di negeri ini.

“Ini bukan masanya Abang Johari membicarakan visi dan strategi sehingga 2030. Masa ini adalah untuk beliau memfokus terhadap penyelesaian segera dan jangka pendek untuk memulihkan ekonomi terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Menurut Chong, setakat ini penularan wabak COVID-19 yang hampir memasuki  bulan ketiga belum ada petanda akan berakhir.

Chong menyifatkan, langkah mengumumkan pelan ekonomi sehingga 2030 pada waktu kritikal sekarang menunjukkan kerajaan sekarang tidak tahu bagaimana menyelamat dan memulihkan ekonomi yang diporak-perandakan wabak COVID-19.

“Bukti nyata, penubuhan MTES yang meminta pandangan daripada semua sektor berkepentingan untuk dihantar dalam tempoh lima bulan.”

“Selepas lima bulan, kerajaan akan mengambil masa beberapa bulan lagi untuk meneliti cadangan sebelum dilaksanakan. Saya tertanya, berapa banyak PKS terpaksa gulung tikar dan berapa ribu orang bakal hilang pekerjaan kemudian?,” kata Chong.

Dijangkakan, seramai 90,000 orang kehilangan pekerjaan dan sekitar 40 peratus Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) di negeri ini akan gulung tikar.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi sebanyak -2.0 peratus ke +0.5 peratus dan dijangka seramai 951,000 hilang pekerjaan.

Malaysian Global Innovation and Creativity Centre turut meramalkan kira-kira 40 peratus perusahaan kecil dan sederhana terpaksa gulung tikar sekiranya COVID-19 berlarutan tiga hingga enam bulan.

“Berdasarkan pandangan ekonomi keadaan semasa ini, visi dan strategi menjelang 2030 yang dilaunkan oleh Abang Johari tidak masuk akal.”

“Lagipun dua teras yang diumumkan iaitu ekonomi digital dan alam sekitar lestari bukan perkara baharu. Ia sudah disebut sejak beliau mengambil alih kerajaan pada Januari 2017,” kata Chong.

Katanya, untuk menyelamat dan memulihkan ekonomi sekarang, kerajaan perlu mengambil pendekatan konkrit dan efektif dalam membantu kelangsungan PKS.

Beliau menggariskan tiga cadangan iaitu Imenyediakan pinjaman tanpa faedah untuk menggelakkan pembuangan pekerja; suntikan dana untuk mewujudkan permintaan dan memberikan insentif untuk pengambilan pekerja tempatan.

Menurut Chong, pinjaman tanpa faedah yang disediakan kerajaan negeri sebanyak RM80.7 juta bagi tempoh tiga tahun setengah atau RM23 juta setahun tidak mencukupi.

“Harus ada subsidi upah langsung untuk PKS pada masa kemerosotan ekonomi. Dalam keadaan ekonomi meleset, subsidi harus ditambah untuk membantu mereka bertahan dengan harapan ekonomi akan pulih dalam tempoh satu atau dua tahun.”

Dalam kemelesetan ekonomi, kerajaan juga perlu menyuntik dana untuk mewujudkan permintaan dengan menambah perbelanjaan.

Menurut Chong, ini dapat membantu semua sektor ekonomi menggunakan teknologi baharu.  Pada masa yang sama mewujudkan kepakaran dan tenaga manusia untuk mendorong  program digitalisasi (penawaran) dan juga memberi geran kepada perniagaan digital (permintaan).

Dalam hal ini, Sarawak Multimedia Authority (SMA) harus menyelia dan bekerjasama dengan semua syarikat teknologi maklumat untuk perlaksanaan pendigitalan berskala besar.

Chong menambah sudah sampai masanya kerajaan mengurangkan pengambilan pekerja asing.

“Insentif wajar diberikan kepada majikan untuk menganti pekerja asing dengan orang tempatan. Walaupun kos gaji lebih tinggi namun kita dapat mengurangkan kadar pengangguran.”

Tegas Chong, ketiga-tiga langkah ini memerlukan kos yang banyak dan usaha untuk dilaksanakan.

“Saya menyarankan agar kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan mengambil langkah segera untuk perlaksanaan,” katanya.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »