BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pusat Kuarantin Daerah COVID-19 dicadangkan di Pakan

PAKAN:Sebuah Pusat Kuarantin Daerah dicadangkan untuk diwujudkan di Pakan bagi memutuskan rantaian COVID-19. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pusat tersebut disediakan untuk menempatkan orang tempatan Pakan yang baru balik dari Semenanjung, Sabah, Labuan, Luar Negara dan pekerja luar pantai. 

"Ini adalah untuk menjamin bahawa individu tersebut bebas dari jangkitan walaupun sudah menjalani proses kuarantin sebelum tiba di Daerah Pakan kerana adalah dikhuatiri individu berkenaan telah dijangkit semasa dalam perjalanan balik ke Pakan,"katanya.

Mawan berkata demikian kepada pemberita setelah mempengerusikan mesyuarat bersama Pegawai Daerah Pakan Seroji Ludin, PDRM, RELA, APM, Jabatan Kebajikan, Klinik Kesihatan Pakan dan Majlis Daerah Meradong-Julau sebentar tadi.

Tambahnya lagi, Pusat Kuarantin yang dicadangkan adalah di Dewan Masyarakat Pakan dengan menyediakan ruangan khas dan perkara ini akan diusul ke Jawantankuasa Bencana Peringkat Bahagian untuk dipertimbangkan. 

Mawan menegaskan, sesuatu yang amat membimbangkan adalah berkemungkinan semakin ramai penduduk yang akan balik semasa musim perayaan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu di rumah panjang.

"Kita amat bersyukur kerana tahap pematuhan PKPB di daerah ini adalah sangat baik walaupun dengan pengenalan SOP yang ketat oleh pihak Kerajaan dan masyarakat di Pakan telah faham dengan SOP yang mesti diikuti terutamanya semasa berurusan di jabatan-jabatan kerajaan.

"Pejabat-pejabat kerajaan telah mula dibuka semula bermula pada 12 Mei yang lepas," katanya sambil menambah, kerja-kerja sanitasi akan dilaksanakan oleh pihak Bomba di semua pejabat kerajaan bermula pada minggu hadapan.

Beliau mengingatkan rakyat supaya sentiasa patuh kepada setiap arahan yang dikeluarkan dari masa ke semasa dan Ketua Masyarakat telah diperingatkan agar memaklumkan Tuai Rumah mengenakan kawalan di peringkat rumah panjang supaya tidak terlalu ramai penduduk yang keluar dalam satu hari.

Ujarnya, ini adalah kerana didapati rumah panjang sudah mengenakan sekatan untuk menghalang orang luar memasuki rumah panjang tetapi mereka sendiri bebas untuk keluar kemana sahaja mereka suka dan perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana ianya dikhuatiri akan membawa virus balik ke rumah panjang mereka.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »