BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Peniaga dakwa ditipu syarikat pemberi pinjaman wang tidak wujud



KUANTAN, 15 Mei (Bernama) -- Hasrat seorang peniaga membuat pinjaman pada kadar faedah rendah memakan diri selepas mendakwa kerugian hampir RM10,000 akibat diperdayakan syarikat pemberi pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Yusri Othman berkata mangsa yang berusia 33 tahun mendakwa dihubungi seorang lelaki pada 3.20 petang Isnin lepas, yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah bank.

"Suspek dikatakan menawarkan pinjaman peribadi sebanyak RM200,000 dengan kadar faedah sebanyak 3.15 peratus menyebabkan mangsa bersetuju membuat pinjaman itu dan memberikan maklumat peribadi termasuk perihal akaun banknya.

"Mangsa kemudiannya dihubungi suspek lelaki kedua pada keesokan harinya memaklumkan pinjaman itu telah diluluskan dan dia perlu membuat bayaran proses dan duti setem sebelum boleh menerima wang tersebut," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata mangsa mendakwa telah membuat tiga transaksi pemindahan wang ke akaun berbeza diberikan suspek pada Selasa dan Rabu lepas yang berjumlah RM9,260 dan hanya menyedari ditipu selepas menghubungi rakannya yang bekerja di sebuah bank.

Rakan mangsa menjelaskan bahawa pinjaman seperti itu tidak ditawarkan oleh bank selain peminjam tidak akan diminta untuk membuat bayaran ke dalam akaun peribadi individu seperti dialami mangsa.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mohd Yusri turut menasihatkan orang awam agar tidak mudah mempercayai tawaran pinjaman wang menerusi panggilan telefon atau media sosial, sebaliknya terus berurusan dengan pihak bank bagi memastikan kesahihan pinjaman tersebut.

"Orang awam juga tidak seharusnya mendedahkan maklumat peribadi mereka khususnya berkaitan perbankan kepada orang ketiga selain jangan mudah membuat pindahan wang walaupun dikatakan sebagai cagaran pinjaman.

"Jika mereka meragui tawaran pinjaman yang diterima, semakan nombor telefon atau nombor akaun boleh dilakukan di portal khas http://ccid.rmp.gov.my/semakmule," katanya.
-- BERNAMA
Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »