BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pemandu mabuk membunuh lagi

KUALA LUMPUR, 29 Mei -- Seorang pembonceng motosikal maut manakala penunggangnya parah, apabila motosikal mereka dilanggar seorang pemandu yang dipercayai mabuk, di Kilometer 34.2 Lebuhraya Persekutuan menghala pusat bandar, hari ini.

Muhammad Khairul Anwar Abdul Hamid, 42, mati di tempat kejadian, manakala Hamdi Ismail, 30, cedera parah dan berada di zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian pada kira-kira 6 pagi itu, melibatkan pekerja sebuah syarikat kurier, yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

“Pemandu kereta dalam kejadian itu merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun, yang juga merupakan seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, pemandu itu tidak cedera dan siasatan awal mendapati dia hilang kawalan ketika memandu, seterusnya melanggar motosikal mangsa.

Beliau berkata, ujian kandungan alkohol ke atas pemandu mendapati lelaki terbabit berada di bawah pengaruh alkohol yang tinggi ketika memandu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan, kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol, setelah ujian saringan alkohol dilakukan terhadapnya.

“Lelaki itu ditahan ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Petaling Jaya, menjalankan operasi di Jalan PJS 8/9, Petaling Jaya, kira-kira jam 12 tengah malam hingga 2.30 pagi tadi.

“Sepanjang operasi itu, seramai 35 pengguna jalan raya telah diperiksa dan sebanyak dua saman dikeluarkan, bagi kesalahan tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »