BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pekebun getah boleh mohon kad PAT-G Dalam Tempoh PKP



KUALA LUMPUR, 7 Mei  -- Pekebun kecil getah yang masih belum memiliki kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) boleh memohon kad tersebut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM).

LGM dalam satu kenyataan hari ini berkata bagaimanapun, permohonan itu tidak dibenarkan dan perlu ditangguhkan bagi kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut lembaga itu, kad PAT-G dikeluarkan secara percuma bertujuan mewujudkan satu dokumen pengenalan kepada pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang memiliki atau mengusahakan kebun getah selain digunakan untuk membuat tuntutan Skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

"Objektif utama PAT-G adalah untuk mewujudkan pangkalan data utama pekebun kecil getah negara, melancarkan urusan jual beli getah di peringkat ladang, mengelakkan kecurian getah dan sebagai dokumen sokongan untuk sebarang bantuan ataupun insentif daripada pihak kerajaan.

"Sebagai contoh, kad PAT-G adalah antara dokumen yang diperlukan untuk memohon IPG yang dilaksanakan bermula 2015," menurut kenyataan itu.

Kad PAT-G diperkenalkan pada 2010 dan telah diwartakan pada 2014 melalui Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014. Sehingga kini, lebih 450,000 kad PAT-G telah dikeluarkan.

Menurut kenyataan itu, pemohon baharu yang ingin memohon kad PAT-G boleh memuat turun borang permohonan di laman web rasmi LGM di www.lgm.gov.my. 

"Borang yang lengkap boleh dipanjangkan ke mana-mana pejabat LGM seluruh negara sama ada dengan penyerahan terus ataupun melalui kotak yang disediakan. LGM juga sedang berbincang dengan agensi-agensi lain untuk membantu mengumpul borang permohonan, terutama di kawasan yang jauh dari pejabat LGM," menurut kenyataan itu.  

Menurut LGM, pemohon akan dihubungi melalui telefon untuk pengambilan kad.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »