BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Malaysia, Singapura komited kongsi pengetahuan harungi COVID-19


SINGAPURA, 20 Mei  – Malaysia dan Singapura akan terus berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam mengharungi pandemik COVID-19 selain kekal komited terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin.

“Masa sukar itu akan diharungi secara bersama dan lebih teguh,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam catatan di akaun Facebook pada malam Selasa selepas menghubungi rakan sejawatannya, Heng Swee Keat, menerusi sidang video.

“Ia merupakan sesi berkongsi pandangan yang amat bermakna membabitkan cabaran kesihatan dan ekonomi yang dihadapi ketika COVID-19 serta bagaimana kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk mengatasinya.

“Doa saya sentiasa mengiringi anda dan semua rakyat Singapura ketika tempoh sukar ini. Terus tabah dan sentiasa selamat,” katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian Heng menerima panggilan itu.

Sementara itu, Heng yang juga Timbalan Perdana Menteri Singapura dalam catatan beliau di Facebook hari ini turut berkongsi perbincangan itu yang menumpukan penularan COVID-19 di kedua-dua negara serta di serata dunia.

“Kami berkongsi banyak perkara penting - daripada langkah untuk membendung penyebaran virus itu sehinggalah sokongan untuk syarikat serta isi rumah masing-masing.

“Selain itu, kami turut membincangkan bagaimana dapat memacu ekonomi ke arah pemulihan apabila ekonomi ini dapat dibuka semula secara beransur-ansur serta meninjau bidang yang dapat memperkukuh kerjasama dua hala,” katanya.

Heng berkata beliau dan Tengku Zafrul juga mengulangi kepentingan hubungan dua hala yang lama terjalin serta keperluan bagi kedua-dua negara meneruskan kerjasama terbabit.

Malah, Heng turut mendedahkan bahawa ini merupakan kali kedua mereka berkomunikasi sejak Tengku Zafrul menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan selain turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

“Saya berharap untuk menemui beliau apabila pandemik ini berakhir,” katanya.

Heng dijadual membentangkan Belanjawaan Keempat republik itu pada 26 Mei ini yang bertujuan membantu kalangan perniagaan dan rakyat negara itu berikutan penularan COVID-19.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »