BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Malaysia perlu melindungi rakyat apabila laksana PKPB mulai Isnin ini.


KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Malaysia perlu melindungi hab-hab pengangkutan, hospital dan komunitinya bagi mengelak lantunan pandemik COVID-19 apabila kerajaan negara ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin ini.

Beberapa pakar perubatan dari China berkata perlindungan terhadap ketiga-tiga hab amat penting dalam usaha mencegah kes pandemik itu daripada berulang secara domestik mahupun di luar negara.

Profesor Madya merangkap Penyelia Lepasan Ijazah, Ketua Pakar Bersekutu ICU, Hospital Rakyat Wilayah Guangdong Dr Wen Miaoyun berkata bagi mencapai objektif itu, Malaysia hendaklah memperluas penggunaan kit ujian pantas antigen.

Beliau berkata Malaysia juga hendaklah menggunakan metodologi teknologi maklumat bagi memantau keadaan kesihatan seperti QRHealth Code yang digunakan secara meluas di China.

“Amat sukar untuk kita meramalkan sama ada gelombang kedua akan berlaku. Buat masa ini, situasi di Malaysia semakin stabil dan turut menunjukkan tanda-tanda penurunan. Kita perlu memastikan bahawa ketiga-tiga barisan hadapan ini dilindungi, dan kita juga perlu mengambil pendekatan holistik dalam melindungi ketiga-tiga barisan hadapan ini.

“Dengan menggabung kesemua aspek, kita sebenarnya dapat mengetahui perkembangan kes masing-masing dan mencegah kemungkinan berlakunya gelombang kedua. Jadi kita perlu memberikan perhatian kepada pencegahan wabak dan semasa kita menarik balik langkah sekatan seperti PKP,” katanya dalam satu temu bual kepada Bernama dan The Star di Kedutaan China di sini hari ini. 

Seorang lagi pakar Dr Sun Jiufeng, yang bertugas sebagai penyelidik di Universiti Sun Yat-sen, berkata apabila PKP yang lebih longgar ini dilaksanakan, pihak berkuasa perlu melakukan lebih banyak ujian terhadap mereka yang mempunyai gejala COVID-19, pengunjung kawasan yang teruk dilanda pandemik itu atau kontak rapat pesakit.

Beliau berkata jika pihak berkuasa gagal melakukan ujian dalam kes terbabit, ia boleh menyebabkan kemungkinan berlaku jangkitan pada masa akan datang.

“Penamatan PKP dan pemulihan aktiviti sosioekonomi hendaklah dilakukan selaras dengan tahap risiko. Di China, setiap kawasan telah dikategorikan kepada tiga tahap risiko iaitu tinggi, sederhana dan rendah.

“Oleh itu, PKP dan langkah-langkah sekatannya hendaklah disesuaikan dengan perkembangan situasi pandemik di Malaysia,” katanya.

Dr Sun berkata adalah penting untuk melakukan banyak ujian, termasuk ujian antibodi dan ujian genom, dalam usaha mengawal situasi seperti di Guangdong baru-baru ini. 

“Kami juga menindaklanjuti dan menemu bual pesakit sama ada gejala mereka meningkat atau sama ada mereka telah menjangkiti mana-mana orang selepas didiscaj.

“Berdasarkan pemerhatian kami di makmal dan kajian berkaitan gejala klinikal serta epidemiologi, meskipun kesemua pesakit terbabit sekali lagi telah diuji positif, kebolehjangkitan mereka sebenarnya rendah. Sebabnya ialah tubuh manusia memerlukan masa untuk menyingkirkan virus COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar merangkap Profesor dan Penyelia Lepasan Ijazah Perubatan Kecemasan Bersepadu Cina dan Barat Dr Li Jun berkata secara keseluruhan, Malaysia mempunyai keupayaan yang utuh bagi mengawal wabak tersebut berdasarkan kunjungan serta perbincangan dengan pakar tempatan baru-baru ini. 

Beliau berkata sikap dedikasi dan profesionalisme yang ditunjukkan petugas barisan hadapan dan pekerja kesihatan di Malaysia adalah mengagumkan.

“Daripada stok peralatan perlindungan diri (PPE) dan bahan lain di beberapa hospital yang dikhususkan untuk merawat pesakit dijangkiti virus itu, kami yakin dan percaya bahawa ia adalah mencukupi bagi menangani situasi semasa COVID-19,” kata Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional China Wilayah Guangdong itu.

 Pasukan yang terdiri daripada lapan profesional perubatan dari China itu tiba di Kuala Lumpur dua minggu lepas iaitu pada 18 April dan bertemu pakar tempatan, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, baru-baru ini. 

Semalam, Dr Noor Hisham dilaporkan sebagai berkata kesemua pakar perubatan dari China telah memuji tindakan pantas dan berkesan Malaysia dalam menangani pandemik COVID-19, termasuk melalui pelaksanaan PKP. 

-- BERNAMA

 



Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »