BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Lelaki ditahan ugut tikam, bunuh ibu dan adik-beradik

KEPALA BATAS, 16 Mei -- Polis menahan seorang penagih dadah kerana mengugut mahu menikam ibu dan adik-beradiknya menggunakan pisau selepas warga emas itu enggan memberikan wang yang diminta suspek untuk membeli dadah dalam kejadian di rumah mereka di Padang Temusu, Penaga di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pada 11.45 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun terbabit balik ke rumah dalam keadaan mengamuk dan meminta wang daripada ibunya yang berumur 70 tahun namun wanita tersebut enggan berbuat demikian,.

"Semasa kejadian, terdapat abang dan adik lelakinya di dalam rumah sebelum abang kepada suspek bertindak menegur suspek untuk tidak bertindak sedemikian namun dia yang berang telah bertindak mengambil pisau serta terus mengacu ke arah ibu dan dua adik-beradiknya.

"Dia turut mengugut untuk mencederakan serta membunuh mereka jika enggan memberikan wang dan walaupun abangnya cuba memujuk tetapi saspek terus mengamuk, termasuk memecahkan pintu rumah itu, sebelum beredar keluar dari situ," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata abang suspek yang berusia 49 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana bimbangkan keselamatan mereka kerana ini bukan kali pertama suspek bertindak sedemikian dan dia akan mengamuk jika tidak mendapat duit untuk membeli bekalan dadah.

Noorzainy berkata polis kemudian melancarkan operasi mengesan suspek dan berjaya menahannya di hadapan sebuah rumah di Penaga pada 9.15 malam tadi serta merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian tersebut merupakan kali keenam lelaki yang tidak bekerja itu mengamuk serta merosakkan barangan dalam rumah.

“Namun semalam dia turut bertindak mengacukan pisau serta mengugut mahu membunuh ibu dan dua adik-beradiknya," kata beliau.

Katanya ujian saringan awal air kencing juga mendapati lelaki itu positif dadah dan suspek memiliki tiga rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Suspek kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan ugutan jenayah.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »