BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kenyalang Gold Card masih diteruskan

KUCHING, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak tidak pernah menghentikan inisiatif Kenyalang Gold Card (KGC) bertujuan membantu warga negeri ini yang berumur 60 tahun dan ke atas, kata Menteri Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah hari ini.

Katanya, inisiatif yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 9 Mac lepas itu masih lagi diteruskan biarpun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang berkuat kuasa di negeri ini.

"Kami mahu memberikan jaminan kepada orang ramai (di Sarawak) yang KGC masih diteruskan dan kami masih menerima permohonannya," katanya ketika mengadakan sidang media Program Penyerahan Kad KGC dan Bantuan Ihsan Kematian (BIK) di Wisma Kebajikan, Petra Jaya, di sini.

Katanya sehingga semalam, sebanyak 146,876 permohonan telah diterima dan jumlah ini mewakili kira-kira 43.91 peratus daripada sejumlah 334,500 rakyat yang dikategorikan sebagai warga emas di negeri ini.

“Bahagian Kuching mencatatkan permohonan teramai dengan sebanyak 40,729 permohonan diterima, diikuti bahagian Miri (45,900 permohonan) dan bahagian Sibu (43,200 permohonan),” katanya.

Fatimah berkata antara keistimewaan memiliki kad itu ialah warga emas boleh mengunakannya bagi mendapatkan diskaun, rebat, yuran percuma atau potongan harga ketika membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan serta manfaat lain daripada rakan strategik sektor komersil di negeri ini.

Katanya, inisiatif terbabit berjaya menarik 56 rakan strategik sebelum PKP dan usaha mendapatkan lebih ramai lagi rakan strategik tertangguh buat sementara waktu setelah PKP mula dikuatkuasakan.

"Satu lagi manfaat KGC ialah Bantuan Ihsan Kematian (BIK) sebanyak RM3,000 kepada waris pemegang kad KGC yang meninggal dunia dan tidak menerima bantuan kebajikan lain bagi menguruskan pengebumian," katanya.

-- BERNAMA

 



Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »