BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Kawalan ketat di sempadan Sarawak-Kalimantan


KUALA LUMPUR, 2 Mei -- Pengawalan ketat di sempadan merupakan satu kunci yang perlu, bagi memastikan tidak berlakunya kes import COVID-19 walaupun kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi membolehkan aktiviti ekonomi dimulakan semula pada 4 Mei.

Faktor pengawalan sempadan telah diberikan penekanan berulang kali oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dihampir kesemua sidang media harian COVID-19nya, sejak Malaysia diletakkan di bawah PKP pada 18 Mac.

Sarawak telah meluluskan peruntukan untuk menambah aset bagi meningkatkan lagi pengawalan sempadan di kawasan Kalimantan, Indonesia sewaktu PKP.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak memberikan jumlah sebenar atau aset tetapi telah berkata, pengawalan sempadan perlu dipertingkatkan lagi.

“Kami lebih risaukan laluan tikus. Jadi kami akan meningkatkan lagi pengawalan di kawasan ini bagi mengelakkan kemasukan pendatang tanpa izin ke Sarawak,” katanya.

Fokus tambahan akan diberikan kepada Long Singut di Bahagian Kapit, yang mempunyai penempatan paling hampir kepada sempadan Sarawak-Kalimantan di kawasan pendalaman negeri ini, katanya.

Dengan kawalan sempadan yang lebih ketat, pihak berkuasa kesihatan boleh yakin yang tidak ada orang yang akan menyeludup masuk Malaysia membawa COVID-19 dan memulakan kluster baru di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang telah mengotakan janji mereka, dan telah meningkatkan pengawalan di semua pusat pemeriksaan sempadan.

Pegawai dan anggota keselamatan juga terus berjaga-jaga dalam memantau, mana-mana pihak yang cuba untuk menyeludup masuk ke negara menerusi pelbagai laluan tikus, jalan haram menerusi hutan dan ladang, yang juga digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

Tugas mengawal dan menjaga keseluruhan sempadan negara bukanlah suatu yang mudah, dengan kira-kira 3,000 kilometer (KM) sempadan daratan dan sempadan perairan lebih 4,600km yang Malaysia kongsi bersama negara jiran Thailand, Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan juga Vietnam.

Namun tugas itu perlu dilakukan. Dilaporkan anggota keselamatan kini menjalankan pemeriksaan di semua tempat, dalam usaha mereka memastikan kawasan di sempadan berada dalam kawalan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam amanat pada 1 Mei berkata, pengawalan sempadan yang lebih ketat merupakan satu daripada kriteria, yang telah diambil kira sebelum menguatkuasakan PKPB bagi membolehkan aktiviti ekonomi dimulakan semula, pada 4 Mei.

-- BERNAMA

Gambar Pasukan Gerakan Am BN 11 meronda di sempadan Malaysia Indonesia dekat Tebedu. 


Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »