BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

DEKOMS sokong penubuhan MTES


KUCHING: Dewan Ekonomi Melayu Sarawak(DEKOMS) menyokong penuh keputusan kerajaan negeri menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (MTES) bagi membantu kerajaan merangka dan melaksanakan pelan tindakan 
bagi merangsang pemulihan sektor ekonomi pasca COVID-19.

Presidennya,Bujang Boji Sitam yakin penubuhan MTES yang dianggotai oleh profesional ekonomi, pakar sektor 
perdagangan dan pemain industri peniagaan mampu memberikan input, perincian yang tepat dan menyeluruh dengan memainkan peranan efektif dalam membantu pihak kerajaan negeri. 

"DEKOMS berpendapat, dengan sembilan strategi utama untuk tempoh 10 tahun bagi sembilan sektor penting yang akan dikembangkan berdasarkan dua prinsip,ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar, mampu mempercepatkan pemulihan dan mengembalikan kerancakan sektor perniagaan dan perdagangan.

"DEKOMS amat yakin, pelan tindakan yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Openg semalam adalah strategi terkini yang komprehensif dalam ruang lingkup pemulihan segera sektor ekonomi ke arah membawa keyakinan yang lebih besar di kalangan pelabur dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dalam konteks ini, Sarawak amat ke hadapan dan mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dalam merangka dan melaksanakan strategi yang ampuh, konkrit dan terarah bagi menangani permasalahan ekonomi yang merudum sekarang ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 sejak 18 Mac lalu.

"DEKOMS mengalu-alukan langkah kerajaan negeri menjemput semua pemain industri termasuk wakil dewan ekonomi dan perdagangan untuk menganggotai MTES. 

"Langkah terbabit membolehkan kerajaan mendapatkan input yang jelas, terkini dan makro dalam memastikan pemulihan dan peningkatan sektor ekonomi ke arah yang lebih menyeluruh dan merata, khususnya membabitkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS),"katanya.

Beliau berkata, atas faktor itulah DEKOMS mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa MTES mampu untuk memberi nilai tambah dalam melaksanakan sembilan strategi yang digariskan oleh kerajaan negeri.

"DEKOMS juga mencadangkan supaya pelan tindakan pemulihan ekonomi turut mengambil kira usaha melestarikan sektor latihan, pembangunan modal insan, sumber manusia dan peningkatan peluang pekerjaan di semua sektor ekonomi yang terjejas teruk sekarang.

"DEKOMS amat bimbang dengan kemungkinan banyak peneraju industri mengambil tindakan mudah dengan memberhentikan ramai pekerja dan tentulah perkara ini boleh mewujudkan kecacatan yang nyata dalam usaha kerajaan negeri memulihkan ekonomi,"katanya.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »