BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

COVID-19 : Bomba ambil langkah pencegahan disinfeksi setiap bas bawa pulang pelajar IPT


PUTRAJAYA, 2 Mei -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil langkah pencegahan jangkitan COVID-19, dengan membuat disinfeksi di setiap bas yang membawa pulang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari kampus untuk ke kampung halaman mereka.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi melihat pergerakan penuntut IPT dari kampus mengikut zon, yang dikenal pasti MKN untuk dibawa pulang.

Beliau berkata penugasan disinfeksi dibuat sebelum dan selepas bas bergerak, dengan mencuci di setiap bahagian bas dari dalam sehingga ke luar bas.

“Kami cuci bas termasuklah di dalam ruangan tempat meletak barangan, lantai bas, dan setiap kerusi bas, sebelum barangan pelajar IPT dibawa masuk.

“Sebelum memasukkan beg mereka ke dalam bas, kami terlebih dahulu mengumpulkan beg-beg mereka di satu tempat untuk disembur dan disanitasi, sebagai langkah pencegahan wabak berkenaan,” katanya kepada Bernama.
Mohammad Hamdan berkata, selepas semburan dan sanitasi selesai dibuat pada beg mereka, barulah barangan mereka diletakkan di ruangan tempat meletak barangan.

“Kami hendak memastikan supaya tiada unsur-unsur penularan wabak COVID-19 dibawa oleh penuntut IPT, ketika berada di dalam bas dan pihak bomba sangat serius dalam perkara ini.

“Apabila kesemua penuntut IPT telah sampai ke destinasi masing-masing, kami akan buat disinfeksi semula, untuk memastikan bas yang dinaiki mereka berada dalam keadaan bersih,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya telah melaksanakan 86 operasi disinfeksi, yang melibatkan 463 kenderaan iaitu 378 buah bas, 83 van dan dua buah kereta.

Mohammad Hamdan berkata, operasi disinfeksi kenderaan ini akan berterusan, manakala kenderaan yang terlibat akan dikenal pasti oleh pihak MKN.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk membenarkan pergerakan penuntut dari kawasan zon hijau ke kampung halaman yang berada di dalam zon hijau secara berperingkat, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan meminta agar pihak berkuasa berkaitan memantau kegiatan pembakaran, terbuka khususnya melibatkan kebakaran hutan.

“Musim ini sepatutnya musim panas dan bila tiba musim panas biasa akan ada kebakaran hutan, tanah gambut dan sebagainya, kerana terdapatnya aktiviti manusia.

“Jadi kami percaya ada ‘orang’ sedang buat penerokaan hutan, sebab itu kami minta badan penguatkuasa bertanggungjawab ke atas aktiviti kebakaran terbuka, untuk bersama-sama memastikan penguatkuasaan itu dibuat,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata ini kerana Malaysia bukanlah seperti di sesetengah negara di Eropah, dan Australia, yang kebakaran hutannya disebabkan kebakaran spontan (kebakaran semula jadi).

“Ia berlaku bukanlah disebabkan oleh aktiviti manusia, tetapi disebabkan cuaca terlalu panas dan kering hanya dengan pancaran sinar sahaja boleh menyebabkan kebakaran.

“Sebagai contoh kebakaran hutan secara semula jadi di New South Wales dan Queensland, yang berlaku akibat perubahan iklim cuaca,” katanya.

Beliau berkata di Malaysia amatlah jarang untuk berlaku kebakaran secara semula jadi dan kebanyakan kebakaran yang berlaku, adalah disebabkan oleh aktiviti manusia.

Katanya ada kes kebakaran hutan berpunca daripada pembuangan puntung rokok secara sewenang-sewenangnya, dan ada pula pembakaran terbuka yang disengajakan.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan beberapa kawasan di Australia terlibat krisis bencana kebakaran hutan, seperti New South Wales dan Queensland.

Kebakaran hutan tersebut sejak September tahun lepas, telah menyebabkan 30 kematian, mengorbankan anggaran satu bilion haiwan selain memusnahkan kira-kira 2,500 rumah.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »