BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

COVID-19: 55 kes baharu, tiada kematian - KP Kesihatan



PUTRAJAYA, 4 Mei  -- Kes baharu positif COVID-19 hari ini turun semula kepada dua angka dengan mencatatkan 55 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara setakat ini ialah 6,353 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes sembuh pula ialah 71 kes melebihi jumlah kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 4,484 kes iaitu 70.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Daripada 55 kes baharu yang dilaporkan hari ini, tujuh kes adalah kes import. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah 48 kes, iaitu 24 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,764 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini.

Sementara itu, tiada kematian direkodkan menjadikan kes kematian akibat COVID-19 kekal 105 kes.

Dr Noor Hisham berkata seramai 28 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 13 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. 

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini, Dr Noor Hisham menyeru pengusaha dan majikan menitikberatkan ‘S.O.P’.

‘S’ merujuk kepada syarat-syarat yang ditetapkan, ‘O’ pula merupakan orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi serta individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan manakala ‘P’ adalah penjarakan sosial yang perlu diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

“Selagi rakyat Malaysia patuh ‘S.O.P’ dan mengamalkan normal baharu dalam kehidupan seharian, maka rantaian penularan jangkitan COVID-19 dapat diputuskan,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata orang ramai boleh mendaftarkan maklumat berhubung ahli keluarga yang tidak mempunyai telefon pintar ke dalam aplikasi MySejahtera yang akan membantu menilai tahap kesihatan ahli keluarga atau individu lain yang didaftarkan.

MySejahtera merupakan aplikasi telefon bimbit yang dibangunkan kerajaan dengan kerjasama pelbagai agensi bertujuan membantu pengawasan penularan wabak COVID-19 dalam negara dengan memperkasakan rakyat agar prihatin terhadap kesihatan kendiri dan keadaan semasa COVID-19 di Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata antara fungsi aplikasi MySejahtera adalah sebagai pengesan hotspot ataupun ‘Hotspot Tracker’ iaitu pengguna boleh mendapatkan maklumat kawasan hotspot kes COVID-19 dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi pengguna atau alamat carian.

Ia juga memberi maklumat berkaitan fasiliti saringan COVID-19 yang terdekat dan bantuan khidmat nasihat secara dalam talian.

-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »