BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Bolehkah kerajaan negeri pilih untuk tidak ikuti PKPB?


KUALA LUMPUR, 5 Mei -- Nampaknya ada kekeliruan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila beberapa kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak mematuhi kelonggaran perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.  

PKPB, yang dikuatkuasa mulai Isnin, tidak diterima baik oleh beberapa kerajaan negeri apabila mereka mengumumkan pelbagai rancangan berhubung kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu, hingga menimbulkan kekeliruan kepada perniagaan dan orang ramai di negeri yang berkenaan.

Pada mulanya dilaporkan bahawa Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak enggan mematuhi PKPB, dengan kebanyakannya membuat keputusan untuk terus mengekalkan PKP4 yang akan berakhir 12 Mei.

Bagaimanapun, Kedah dan Kelantan terpaksa bersetuju hari ini untuk melaksanakan PKPB dengan serta merta seiring dengan keputusan yang dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Bolehkah negeri-negeri berkenaan tidak mematuhi PKPB Kerajaan Persekutuan dan mengeluarkan arahan mereka sendiri untuk disesuaikan dengan keutamaan negeri masing-masing?

Menurut beberapa pakar perundangan, kerajaan negeri tidak boleh menolak untuk mematuhi penguatkuasaan PKPB atau fasa kelima PKP yang diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan, memandangkan PKP4 kini batal dan tidak sah.

Peguam terkemuka, Datuk N. Sivananthan berpendapat, kerajaan negeri tidak boleh menolak untuk mematuhi PKPB yang telah diwarta untuk dilaksanakan mulai 4 Mei hingga 12 Mei kerana ia menggantikan peruntukan bagi PKP4.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa yang sah untuk menolak bagi pematuhan PKPB seperti yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sebarang percubaan untuk menghalang rakyat daripada mematuhi PKPB akan tertakluk kepada undang-undang dan rakyat yang mengalami kerugian akibat daripadanya boleh mengemukakan saman terhadap kerugian,” katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, peguam Amer Hamzah Arshad berkata, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (undang-undang Persekutuan), Kerajaan Persekutuan menerusi menteri yang bertugas, dibenarkan membuat peraturan tertentu.

Beliau berkata, di bawah peraturan PKPB, ia membenarkan sektor-sektor tertentu untuk beroperasi semula.

“Pada masa yang sama, kita perlu menghargai bahawa kerajaan negeri masih mempunyai suara mengenai perkara yang berkaitan dengan kesihatan awam dan pengawalan penyakit. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, kerajaan negeri menerusi majlis tempatan, mempunyai beberapa kuasa untuk mengawal dan menguatkuasakan kuarantin mengikut mana yang berkenaan.

“Contohnya, kita melihat majlis kerajaan tempatan mengambil inisiatif mereka untuk mengawal dan menguatkuasa undang-undang bagi membendung penularan denggi,” katanya.

Bagaimanapun, Amer Hamzah menekankan apabila ia melibatkan operasi perniagaan, kerajaan negeri menerusi majlis kerajaan tempatan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen perniagaan dan permit dan dalam beberapa hal membatalkannya.

Peguam itu berkata, persoalannya sekarang ialah sama ada terdapat konflik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Apabila terdapat konflik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan nNgeri, Perkara 81 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa keputusan eksekutif Kerajaan Persekutuan mengatasi dan perlu dipatuhi,” katanya.

“Persoalan sebenar yang harus dibangkitkan ialah sama ada Kerajaan Negeri sememangnya berhasrat mengingkari PKPB atau ia adalah kes yang menyaksikan Kerajaan Negeri cuba melaksanakan PKPB secara lebih berkesan dengan memasukkan perincian tambahan yang membabitkan keselamatan dan langkah pencegahan.

“Apapun, selagi ia tidak bercanggah dengan semangat PKPB, maka adalah sah untuk kerajaan negeri berbuat demikian,” kata Amer Hamzah

Sebaik-baiknya perlu ada perbincangan menyeluruh antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sebelum itu kerana kedua-dua pihak berhak melontarkan pendapat dalam isu yang membabitkan kesihatan awam dan pencegahan penyakit.

“Ini boleh mengelak kekeliruan dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, peguam Lim Wei Jiet berpendapat bahawa kerajaan negeri berpandangan bahawa mereka ingin melakukan pengubahsuaian berhubung PKPB dengan melaksanakan sekatan pergerakan tambahan. 

-- BERNAMA


Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »