BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Ahli perniagaan rugi RM56,560 ditipu Macau Scam

KUANTAN, 6 Mei (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis di sini semalam, mendakwa kehilangan wang simpanan RM56,560 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam, bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata kejadian berlaku pada 25 April lepas apabila seorang wanita menghubungi ahli perniagaan itu dan mendakwa kononnya lelaki berumur 48 tahun itu melakukan kesalahan.

Beliau berkata wanita itu kemudian memindahkan panggilan, kononnya kepada seorang pegawai polis di Sabah untuk siasatan lanjut.

Menurutnya ahli perniagaan yang mendakwa bimbang ditangkap telah mengikut arahan “pegawai polis” itu untuk memindahkan wang simpanannya ke satu akaun diberikan menerusi dua transaksi pada 28 April lepas, kononnya bagi tujuan audit oleh pihak polis. 

“Suspek mendakwa audit itu akan mengambil masa selama seminggu dan wang akan dipulangkan, namun sehingga semalam, ahli perbiagaan itu tidak menerima wang berkenaan, selain gagal menghubungi pegawai terlibat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohd Wazir berkata ahli perniagaan itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »