BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

ADUN Kedah menghadap Sultan


ALOR, 14 Mei (Bernama) -- Seramai 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah dijadual menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman, di sini, esok.

Berberapa ADUN daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas yang dihubungi mengesahkan perkara itu, hari ini.

ADUN Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, berkata beliau telah menerima surat jemputan dari Istana Anak Bukit hari ini yang mengkehendakinya menghadap Sultan Sallehuddin pada sebelah petang esok.

“Betul, saya baru terima...dapat jemputan. Jemputan saya untuk sesi petang,” katanya yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah.

ADUN daripada DAP, Teh Swee Leong (Kota Darul Aman) juga mengesahkan menerima jemputan itu.

“Esok akan menghadap Sultan Kedah pada jam 3.30 petang,” katanya.

Seorang ADUN PAS yang enggan dinamakan pula berkata beliau dijemput menghadap Sultan Sallehuddin di Wisma Darul Aman pada jam 10 pagi.

Sementara itu, ADUN Bebas, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) turut mengesahkan menerima surat jemputan itu yang meminta hadir pada sebelah pagi.

Jemputan menghadap itu dipercayai susulan perkembangan politik Kedah di mana Selasa lalu, dua ADUN PKR Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert mengumumkan keluar parti serta menyatakan sokongan kepada kerajaan PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada hari sama, Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan 19 daripada 36 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhammad Sanusi mendakwa empat ADUN Bersatu juga telah hilang kepercayaan kepada Mukhriz, yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu.

-- BERNAMA

 


Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »