BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

262 kertas siasatan berita palsu berbaur hasutan, KDN

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Sebanyak 262 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu berbaur hasutan yang menimbulkan keresahan rakyat dibuka sejak awal tahun ini sehingga Isnin lepas, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin 

Beliau berkata pihaknya memandang serius penyebaran berita palsu berbaur hasutan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kementerian ini tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja cuba mencetuskan provokasi atau mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan dengan menggunakan segala peruntukan perundangan sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 termasuk Akta Hasutan 1948.

Menurut Hamzah terdapat trend peningkatan kes melibatkan kesalahan menghasut terhadap institusi diraja, kaum, agama dan hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang dilindungi oleh Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

"Sepanjang tahun 2017, sebanyak sembilan kertas siasatan yang melibatkan kesalahan menghasut telah dibuka. Sebanyak 31 kertas siasatan pula dibuka pada tahun 2018, manakala 78 kertas siasatan lagi bagi tahun 2019.

Hamzah berkata kebelakangan ini penyebaran maklumat palsu atau berita berunsur hasutan semakin berleluasa sehingga boleh mewujudkan suasana tidak tenteram khususnya apabila berita berkenaan menyentuh tentang isu-isu yang sensitif dalam kalangan masyarakat.

"Semua pihak dinasihat agar tidak mengeluarkan atau menyebarkan maklumat palsu atau berita berunsur hasutan bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA

 



Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »