BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Tugas luar biasa Bomba Tatau

BINTULU, 7 April (Bernama) -- Perjalanan darat sejauh 215 kilometer dengan sebahagiannya jalan balak tidak bertar serta berlubang-lubang, adalah antara cabaran dihadapi petugas Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau di sini, dalam melaksanakan tugas yang agak lain daripada yang biasa mereka lakukan.

Bukan untuk tugas memadam kebakaran ataupun untuk operasi mencari dan menyelamat, tetapi sejak semalam, mereka telah berulang-alik di antara pekan Tatau dekat sini dan beberapa kawasan penempatan terpencil di Bahagian Bintulu, untuk menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk.
“Memang mencabar dengan keadaan jalan yang licin selepas hujan dan berlubang-lubang, tetapi kami menerimanya sebagai asam garam dalam misi untuk membantu masyarakat, di kawasan pedalaman ini,” kata Ketua BBP Tatau, Jankey Jikat kepada Bernama.

Petugas-petugas di BBP Tatau merupakan antara pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat Sarawak, yang terlibat menghantar bekalan makanan ke kawasan pedalaman di bawah Program Bantuan Makanan Kerajaan Sarawak, bagi membantu golongan berpendapatan rendah semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Dana berjumlah RM16.4 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan program ini, dengan menyasarkan seramai kira-kira 450,000 orang penerima, untuk mendapat manfaat dari bantuan berkenaan.
 
Jankey berkata, dianggarkan lebih lapan tan bahan makanan seperti beras dan makanan-makanan lain telah dihantar, sejak operasi penghantaran bantuan itu bermula semalam, dengan lokasi paling jauh adalah di Data Kakus yang keseluruhannya mengambil masa kira-kira 10 jam pergi dan balik.

Sewaktu di Data Kakus, Belaga, pasukan itu telah mengagihkan bantuan kepada 285 keluarga dari tujuh buah rumah panjang.

“Sememangnya perjalanan membawa muatan barangan sebanyak itu lebih-lebih lagi melalui jalan balak adalah sangat mencabar yang memerlukan pemandu terlatih, cekap serta berpengalaman, memandu di laluan balak,” katanya.

Sehingga petang tadi, misi pasukan BBP Tatau ini telah berjaya menghantar bantuan makanan, kepada 667 keluarga dari 26 buah rumah panjang. 
 -- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »