BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Tolong jimatkan elektrik, TNB


KUALA LUMPUR, 1 April -- Tanggalkan palam peralatan elektrik jika tidak digunakan serta jangan biarkan peralatan elektrik seperti kipas terpasang di dalam bilik yang kosong.

Peringatan itu adalah antara enam panduan penggunaan elektrik berhemah oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB). 

Dalam satu kenyataan hari ini, TNB memaklumkan panduan itu dikongsikan kepada pengguna bagi mengimbangi keperluan menggunakan peralatan elektrik dengan selesa tanpa sebarang pembaziran sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan COVID-19. 

Lima lagi panduan penggunaan elektrik berhemah adalah:
Memastikan semua pintu, tingkap dan lubang edaran udara tertutup rapi ketika menggunakan pendingin hawa supaya hawa sejuk tidak keluar dari bilik. Menggunakan kipas bagi membantu menyejukkan hawa bilik agar suhu pendingin hawa dapat dilaraskan lebih tinggi (contohnya, antara 24 ke 26 darjah Celcius) bagi menjimatkan tenaga.

Membersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan proses penyejukan. Penapis yang kotor menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.

Mengelakkan mencuci pakaian menggunakan air panas, melainkan perlu dan menggunakan mesin basuh dengan muatan penuh.
Mengurangkan penggunaan pengering pakaian. Ambil kesempatan cuaca panas untuk mengeringkan pakaian secara semulajadi.

Sekiranya mandi menggunakan alat pemanas air, kurangkan tempoh mandian.

TNB berkata dalam tempoh PKP ini, penggunaan elektrik di kediaman bakal meningkat kerana isi rumah menggunakan elektrik yang lebih kerap atau lebih lama daripada kebiasaan.

"Peningkatan sebenar penggunaan elektrik ini hanya akan diketahui selepas berakhirnya pelaksanaan PKP kerana TNB menangguh sementara pembacaan meter dan menggantikannya dengan bil anggaran bagi mematuhi arahan PKP," menurut kenyataan itu. 

Terdahulu, bagi mengurangkan beban tanggungan rakyat, kerajaan dalam pakej rangsangan ekonominya menyebut diskaun berperingkat untuk pengguna domestik selama enam bulan bermula pada hari ini. 

TNB berkata diskaun sehingga 50 peratus diberikan kepada pengguna domestik atau kediaman dengan penggunaan elektrik hingga 200 kWj (kilowatt jam) sebulan manakala 25 peratus bagi penggunaan elektrik antara 201 hingga 300 kWj dan 15 peratus bagi penggunaan elektrik antara 301 hingga 600 kWj. 

Penggunaan elektrik melebihi 600 kWj pula, pengguna mendapat diskaun sebanyak dua peratus.

Untuk maklumat lanjut mengenai kaedah penggunaan tenaga yang berhemah dan bijak, pengguna boleh terus melayari laman sesawang https://www.mytnb.com.my manakala bagi urusan transaksi dalam talian menerusi portal dan aplikasi myTNB.

Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454 dan Facebook TNB CareLine.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »