BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Tiada solat tarawikh di masjid, surau


KUCHING: Majlis Islam Sarawak melanjutkan tempoh penangguhan sementara semua aktiviti masjid dan surau di seluruh Sarawak termasuk solat Jumaat, solat berjemaah dan solat tarawikh berjemaah.

Setiausaha MIS Khalidi Ibrahim berkata, semua arahan yang dikeluarkan terdahulu dilanjutkan sehingga 28 April.

"Sempena menjelang Ramadhan tahun ini, Majlis Islam Sarawak mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan menghidupkan Ramadhan dengan pelbagai ibadah sunat di rumah masing-masing.

"Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan jiwa kepada kita semua dan menghindari kita daripada sebarang kemudaratan," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan bermula 15 hingga 28 April ini.

Beliau berkata, perlanjutan itu selaras dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya tidak menamatkan PKP dengan lebih awal.

Perdana Menteri memaklumkan perlanjutan tempoh PKP itu dibuat berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan
pakar perubatan.

Katanya, seperti mana yang berlaku di beberapa negara, penularan wabak ini meningkat semula apabila PKP ditamatkan.

"Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ia mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi 100 peratus," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan yang lalu sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan COVID-19.

Katanya, dengan usaha-usaha yang telah dibuat, kes positif COVID-19 adalah terkawal pada kadar tujuh peratus, iaitu di bawah penanda aras 10 peratus yang ditetapkan WHO.

"Kadar kematian akibat wabak ini juga adalah rendah, iaitu 1.6 peratus berbanding 5.8 peratus kadar kematian di peringkat dunia.

"Setakat ini, seramai 1,830 orang pesakit telah keluar dari hospital. Ini bermakna 43 peratus pesakit COVID-19 telah pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih ialah seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes," katanya.

Beliau menjelaskan jumlah kes positif baharu juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa hari yang lalu.

Jika aliran itu berterusan, katanya untuk tempoh dua minggu akan datang, insya-Allah langkah mengawal wabak COVID-19 daripada menular dapat dicapai.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »