BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Tiada halangan rakyat Malaysia untuk ke Semenanjung, Sarawak

KOTA KINABALU, 3 April -- Semua warganegara Malaysia tidak dihalang meninggalkan Sabah untuk ke Semenanjung atau Sarawak dan tidak perlu mendapat kebenaran khas dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin dalam kenyataan hari ini berkata mengikut peraturan imigresen semasa pelaksanaan PKP, individu atau rakyat Malaysia hanya perlu melalui pemeriksaan imigresen biasa sahaja apabila meninggalkan negeri ini.

“Baru-baru ini tular di media sosial yang mendakwa bahawa seorang penumpang di Lapangan Terbang Tawau kononnya diberi pelepasan ke Semenanjung kerana menggunakan ‘orang dalam’ iaitu ‘bos imigresen’.

“Namun dakwaan itu adalah tidak benar dan tidak berasas kerana berdasarkan peraturan yang ditetapkan semua warganegara Malaysia tidak dihalang untuk meninggalkan negeri Sabah dan tidak perlu mendapat kebenaran khas dari pihak Imigresen,” katanya.

Beliau berkata JIM Sabah telah berhubung dengan penumpang berkenaan bagi mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa beliau hanya menghubungi pegawai Imigresen untuk bertanya status kebenaran berlepas ke Semenanjung dan bukannya menggunakan ‘orang dalam’ seperti yang didakwa.

“Beliau telah memohon maaf atas kejadian viral ini kepada jabatan dan berjanji akan memadam kenyataan bergambar tersebut di media sosial,” katanya.

Sehubungan itu, Muhamad Sade menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat kenyataan di media sosial agar tidak menyebarkan berita palsu boleh yang mencemarkan imej jabatan kerajaan sebagai pemberi perkhidmatan di barisan hadapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19.

Pada 16 Mac Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara berkuat kuasa 18 Mac dalam PKP fasa pertama selain sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »