BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Tabung Darah Sarawak ambil langkah pastikan darah mencukupi



KUCHING, 19 April (Bernama) -- Tabung darah di seluruh Sarawak mengambil langkah bersiap sedia, bagi memastikan bekalan darah untuk kegunaan hospital-hospital di seluruh negeri itu, mencukupi menjelang Ramadan serta musim-musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Transfusi dan Bank Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Mohammad Masrin Md Zahrin berkata, stok darah di tabung darah berada dalam keadaan baik iaitu sekitar 900 unit, yang dikenal pasti selamat untuk kegunaan seminggu.

Bagaimanapun beliau berkata, pendermaan darah secara berterusan daripada orang ramai amat diperlukan, agar bekalan darah sentiasa mencukupi memandangkan jangka hayat simpanan komponen darah yang pendek terutamanya platelet.

"Sebelum wabak COVID-19 menular, purata sebanyak 150 beg darah dikumpul setiap hari di seluruh negeri termasuk 70 beg sehari di Tabung Darah HUS, namun pada masa ini, terdapat penurunan di dalam permintaan bekalan darah kerana pengurangan pembedahan elektif,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Tabung Darah HUS menyasarkan untuk membekalkan sekitar 40 beg darah sehari, bagi kegunaan pesakit kritikal.

Dr Mohammad Masrin berkata, antara Januari dan Mac lepas, tabung darah di empat pusat pendermaan darah di seluruh negeri mencatatkan sejumlah 9,751 penderma yang tampil untuk menderma darah, dengan 2,070 daripada mereka merupakan penderma baharu.

Katanya selain penggunaan media sosial sebagai medium untuk memaklumkan kepentingan pendermaan darah, pihaknya turut menjalinkan kerjasama berterusan dengan penderma tetap dan penganjur-penganjur kempen derma darah seperti agensi kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi serta badan bukan kerajaan.

"Cara lain jika terdapat masalah untuk datang ke pusat kutipan darah ini, contohnya jika ada 10 hingga 20 orang penderma serentak, mereka boleh menghubungi kami untuk pergi ke lokasi yang sesuai untuk menderma atau kami akan membawa penderma terbabit dalam jumlah yang kecil bagi memenuhi arahan PKP,” katanya.

Menurutnya kesemua tabung darah juga sentiasa mengekalkan sejumlah beg darah yang berlainan kumpulan untuk keperluan kecemasan, selain mempunyai senarai penderma yang memiliki jenis darah yang sukar didapati untuk dihubungi, jika diperlukan.

“Sebagai langkah tambahan semasa penularan COVID-19 ini, kami menyediakan kaunter saringan kesihatan, memastikan penderma memakai penutup hidung dan mulut, sebelum mereka boleh meneruskan proses pendermaan dan hanya mereka yang memenuhi kriteria sahaja dibenarkan menderma,” katanya.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »