BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Sarawak siap sedia jika situasi Covid-19 lebih serius


KUCHING, 21 April (Bernama) -- Sarawak bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya situasi semasa wabak COVID-19 menjadi lebih serius termasuk membina sebuah hospital sementara untuk pesakit COVID-19 jika keadaan memaksa, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata bahawa mereka sedang dalam perbincangan yang sangat aktif, dan bersedia untuk berhadapan dengan senario yang terburuk  selain mendoakan yang terbaik untuk Sarawak.

“Seperti yang saya kata semalam, ini adalah jalan yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. (Jadi), kita lihat pada pengalaman dan program dijalankan di negara lain yang telah berjaya, jadi kita ikut cara mereka.

“Satu daripadanya adalah menyediakan katil hospital yang mencukupi. Kuala Lumpur telah melakukan yang terbaik (mewujudkan hospital sementara di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS)) dan kami merancang untuk adakan satu (hospital sementara) di Kuching tetapi lokasi dan jumlah katil kami akan maklumkan kemudian,” katanya dalam sidang media di sini.

Sementara itu, JPBN juga bersetuju untuk membenarkan kedai menjual barangan atau bekas plastik, aksesori dan bahan-bahan kuih dibuka dua kali seminggu iaitu pada Rabu dan Jumaat dari pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam.
 
Ini bagi membolehkan suri rumah serta peniaga kecil dan sederhana membuat kuih-muih sebagai persediaan menjelang perayaan Gawai dan Aidilfitri.

Uggah berkata jawatankuasa itu juga mengambil keputusan untuk tidak membenarkan semua kedai dobi termasuk perkhidmatan dobi layan diri beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Tenaga Kerja serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sarawak akan memantau kebajikan dan kesihatan seramai 138,183 pekerja asing di negeri ini bagi memastikan mereka sentiasa diawasi agar tidak dijangkiti COVID-19.

.“Kita mengambil contoh seperti di Singapura (ada pekerja asing dijangkiti COVID-19) dan tidak mahu keadaan itu berlaku di sini dan adalah penting untuk memastikan kumpulan ini sentiasa diawasi agar tidak dijangkiti COVID-19,” katanya.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »