BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Sarawak sedia 100 katil ICU di Hospital Umum - Uggah

KUCHING, 2 April -- Sarawak mengambil langkah berjaga-jaga dalam menangani penularan wabak COVID-19 dengan menyediakan 100 katil unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Umum Sarawak (HUS), kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPNB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata HUS adalah hospital yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 di Sarawak serta mempunyai keseluruhan 1,000 katil.

“Jika keadaan mendesak, strategi kita untuk memindahkan semua pesakit yang tiada kaitan dengan COVID-19 dari hospital itu agar mempunyai ruang cukup untuk menempatkan semua pesakit COVID-19.

“Pesakit-pesakit yang dikeluarkan itu akan ditempatkan di Pusat Jantung Sarawak di Samarahan, Hospital Serian dan Hospita Bau supaya pesakit yang terlibat itu dapat menerima rawatan yang sama,” katanya pada sidang media khas COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat 23 kes baharu positif COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak sebanyak 211 dengan 21 kes baharu itu dirawat di Hospital Umum Sarawak dan dua kes di Hospital Sibu.
 
Sarawak mencatatkan satu kematian hari ini, menjadikan jumlah kematian sebanyak sembilan kes.


Sementara itu, mengulas mengenai pemantauan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Uggah berkata sehingga hari ini, tahap pematuhan adalah sebanyak 95.3 peratus dan polis telah melakukan 37 tangkapan di seluruh Sarawak.

“Berkuat kuasa 3 April 2020, kebenaran untuk bergerak dari daerah ke daerah hendaklah melalui Balai Polis Daerah yang terdekat manakala kelulusan yang telah diperolehi dari Pejabat Daerah sebelum ini (sebelum 2 April) hendaklah disahkan semula di balai polis yang berdekatan,” katanya.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »