BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Sarawak kekal sekatan 7 malam - 7 pagi



KUCHING, 31 Mac (Bernama) -- Sarawak akan mengekalkan waktu operasi perniagaan bermula dari 7 pagi hingga 7 malam bagi perniagaan tertentu dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bukannya jam 8 pagi hingga 8 malam seperti yang dikuatkuasakan di seluruh negara mulai esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Hui Kian berkata apa jua arahan atau perintah baharu, objektifnya tetap sama iaitu untuk membendung penularan wabak COVID-19.

“Kita mahu orang ramai berada di rumah untuk menghentikan penyebaran jangkitan COVID-19. Ini yang lebih penting. Kita dapat lihat masih banyak kenderaan di atas jalan raya ketika ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sarawak telah menguatkuasakan peraturan yang menghendaki orang awam kekal di dalam rumah dari 7 malam hingga 7 pagi semasa tempoh pelaksanaan PKP. Perniagaan yang boleh beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam adalah pasar raya, restoran (hanya untuk pesanan makanan dibawa pulang sahaja), kedai serbaneka dan stesen minyak.

Sementara itu, Dr Sim berkata Sarawak sedang meneliti untuk menambah bilangan pusat kuarantin di Kuching bagi penempatan pesakit di bawah siasatan (PUI).

“Institut Latihan Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Aminuddin Baki, Akademi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, dicadangkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Sebagai tambahan, kami juga melihat kepada Akademi Kastam dan Eksais Diraja,” katanya.

Dr Sim juga mendedahkan bahawa kerajaan negeri akan mendapatkan khidmat pakar perubatan China daripada kerajaan di Wilayah Fujian untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang teknikal dalam menangani wabak COVID-19.

Sehingga kini, Sarawak melaporkan satu kematian baharu COVID-19, menjadikan keseluruhan lapan kematian sejak kes positif pertama virus itu dilaporkan pada 13 Mac di negeri itu.

Sarawak juga merekodkan 21 kes positif COVID-19 hari ini, menjadikan keseluruhan kes positif sebanyak 135. 

-- BERNAMA

 


Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »