BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Remaja miliki pistol tiruan, ugut dan pukul

JOHOR BAHRU, 13 April (Bernama) -- Dua individu termasuk remaja berumur 16 tahun ditahan kerana memiliki sepucuk pistol tiruan serta terlibat dalam kes pukul dan ugut di Bandar Tenggara, dekat Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata selain remaja lelaki berkenaan, turut ditahan lelaki berusia 23 tahun pada pukul 11.45 malam tadi hasil maklumat orang awam.

Menurut beliau, kedua-dua suspek dipercayai terbabit melakukan ugutan dan memukul seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Taman Anggerik dekat Bandar Tenggara beberapa jam sebelum ditahan polis.

“Daripada siasatan awal pihak polis, kedua-dua suspek berkenaan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta negatif dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Kita sedang menyiasat pistol tiruan yang mereka miliki termasuklah cara suspek mendapatkannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
 
Ahsmon berkata kedua-dua suspek berkenaan disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan.

Pada masa yang sama, mereka juga disiasat di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana tidak patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini.

Jika sabit kesalahan bagi Akta Senjata 1960, mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya. Bagi hukuman kesalahan Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan, hukumannya adalah penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

“Untuk kesalahan melanggar arahan PKP ini pula, hukuman adalah penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000,” katanya.

Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »