BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Polis terima laporan tindakan VIP langgar PKP

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Polis telah menerima laporan berhubung tindakan beberapa orang kenamaan yang didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengadakan perjumpaan perkumpulan seperti yang tular di media sosial semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu kini diserahkan kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut.

“Tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang. Telah ada laporan polis dilakukan, kita serah kepada polis untuk ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP, di sini, hari ini.

Semalam tular di media sosial beberapa keping gambar memaparkan orang kenamaan membuat lawatan dan menziarahi orang ramai sehingga dilihat tiada penjarakan sosial dilakukan walaupun dalam situasi COVID-19.

Dalam pada itu, ditanya mengenai persidangan Dewan Rakyat yang dijangka diadakan pada 18 Mei ini, Ismail Sabri berkata perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat hari ini dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tidak lama lagi.

Sejak semalam, tular satu notis yang dikatakan dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat bahawa Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14  akan diadakan sehari sahaja pada 18 Mei.

Menurut notis itu, persidangan Dewan Rakyat akan diadakan bagi membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan sahaja susulan daripada pelaksanaan PKP.

Menurut notis itu lagi, tiada sesi pertanyaan lisan, Waktu Pertanyaan Menteri serta usul.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »