BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Polis kompaun pesalah, tiada lagi nasihat


KUCHING : Peningkatan individu yang dikompaun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan polis semakin tegas, bukan jumlah pesalah bertambah, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato' Dev Kumar.
 
“Pada peringkat awal PKP, polis mengambil pendekatan memberi nasihat atau amaran sahaja. Sekarang sudah hampir sebulan PKP dikuatkuasakan. Cukuplah memberi nasihat atau amaran.”

“Polis akan bertindak tegas sekarang dalam mengeluarkan kompaun atau menangkap orang yang tidak bekerjasama atau menghalang tugas kami,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tempoh PKP dilanjutkan sehingga 28 April ini sebagai langkah kerajaan memutuskan rantai wabak Covid-19.

Katanya, tahap pematuhan PKP di Sarawak adalah tinggi iaitu lebih dari 97 peratus.  

Beliau berkata, sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac hingga hari ini, seramai 264 individu dikenakan kompaun RM1,000 manakala yang ditangkap kerana enggan bekerjasama atau menghalang tugas polis seramai 573 orang.

Dev Kumar turut membetulkan persepsi masyarakat bahawa jumlah kenderaan yang banyak di jalan raya bukan menunjukkan ramai orang ingkar PKP.

Katanya, beliau banyak menerima aduan banyak kenderaan di jalan raya.

Katanya, kesesakan di sekatan jalan raya sehingga kadang-kadang 1 kilometer panjang disebabkan petugas mengambil masa untuk menyoal pemandu setiap kenderaan.

“Dalam tempoh PKP ini, polis tidak akan melonggarkan kawalan di sekatan jalan raya utk melicinkan pergerakan kenderaan. Jika orang ramai tidak mahu terperangkap dalam sekatan, elakkan untuk keluar melainkan ada hal penting,” katanya.

Dev turut membetulkan persepsi bahawa apa yang dikuatkuasakan sekarang bukan curfew, tetapi adalah kawalan pergerakan.

“Saya yakin bahawa kebanyakan orang yg keluar dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 petang ada sebab munsabah untuk keluar. Polis juga tidak mampu untuk mengikut orang itu untuk melihat samada dia betul-betul pergi ke pasar atau tidak,” katanya.



Orang ramai di negeri ini masih boleh keluar dalam tempoh tersebut untuk membeli makanan, keperluan harian, penokok diet, pergi ke hospital dan farmasi, menjalankan tugas rasmi atau yang berkaitan dengan perkhidmatan perlu seperti pergi ke stesen minyak dan bank.

Selain itu, pada hari Selasa dan Khamis, orang ramai boleh pergi ke kedai hardware, kedai baja dan racun, kedai menjual makanan haiwan dan kedai menjual alat ganti kenderaan.

Untuk urusan tertentu seperti menghadiri pengebumian dan bergerak antara daerah, orang awam perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Ketua Polis Balai berdekatan. 

“Dalam tempoh 11 hari ini bermula PKP2, seramai 19,142 orang telah datang ke 89 balai di Sarawak bagi mendapatkan surat kebenaran bergerak atas sebab khas dan tertentu.”

“Daripada jumlah ini, 17,093 orang telah diberi surat kebenaran manakala 2,060 orang telah ditolak atas alasan yang tidak kukuh,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 95 orang ingkar PKP dikompaun RM1,000 selepas ditahan keluar tanpa alasan munasabah semasa operasi antara jam 8 pagi semalam (11 April) hingga 8 pagi hari ini yang diadakan di 15 daerah.

"Mereka diberi tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk buat bayaran di Pejabat Kesihatan Daerah," kata Dato' Dev Kumar. 

Katanya, Kuching mencatat jumlah tertinggi iaitu 25 orang diikuti Sarikei (21), Kota Samarahan (14), Betong (7), Miri, Bau, Simunjan dan Saratok masing-masing(4), Bintulu (3), Padawan, Kapit dan Matu Daro masing-masing (2) manakala Sibu, Marudi dan Lubok Antu masing-masing (1).

Manakala 17 individu ditangkap iaitu di Miri (9), Kuching, Sibu dan Padawan masing-masing (2) diikuti Dalat dan Tatau masing-masing (1).

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »