BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

PM akan putuskan lanjutan PKP esok

PUTRAJAYA: Perdana Menteri akan dimaklumkan esok pagi berhubung keputusan sama ada untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, satu mesyuarat bagi meneliti unjuran perkembangan kes COVID-19 akan diadakan pada jam 6 petang ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perbincangan itu akan turut membabitkan pelbagai agensi lain seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), selain pakar statistik dan epidemiologi.

“Kita nak lihat unjuran bersandarkan model perkiraan semasa, apa senario yang mungkin berlaku dalam tempoh satu atau dua minggu.

“Kita akan buat unjuran sama ada bakal wujud peningkatan (kes baharu COVID-19) atau tidak, tetapi perkembangan semasa seperti hari ini menunjukkan angka positif antara yang rendah.

“Oleh itu, seperti yang saya sebut sebelum ini, kita ada peluang tipis untuk perbetulkan keadaan, jadi pendekatan kawalan sewajarnya harus dilaksanakan.

“Esok Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan buat pengumuman (mengenai sama ada PKP dilanjutkan atau sebaliknya),” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 416 kes positif COVID-19 membabitkan individu bukan warga tempatan termasuk satu kematian yang dilaporkan di Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini.

Menurutnya, jumlah berkenaan turut membabitkan individu dari lima negara utama.

“Ia termasuk 51 kes membabitkan warga Indonesia, 37 kes (India), 31 kes (Myanmar); 29 kes (Pakistan) dan 27 kes (Filipina).

“KKM bekerjasama rapat dengan pihak Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka (asylum seeker) turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan kerajaan.

“Selain itu, KKM juga mendapat banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan juga sukarelawan dalam menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan dengan pembabitan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah.

“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja, seramai 137 orang sukarelawan dari pelbagai sektor menggembleng tenaga bagi bersama-sama menjalankan aktiviti ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »