BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

PKP bantu kenal pasti gelandangan yang sebenar di Sarawak



KUCHING, 6 April -- Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak dilihat ada rahmat di sebaliknya dari segi pengendalian isu gelandangan di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah hari ini berkata, jumlah gelandangan yang dikesan setakad semalam 67 orang berbanding 120 orang pada Januari tahun ini.

“Pelaksanaan PKP telah membantu kami mengenalpasti antara gelandangan yang sebenar daripada mereka yang “tiada tempat tinggal secara bermusim”. Kemungkinan individu yang tiada tempat tinggal secara bermusim ini menyedari akan perintah berkenaan dan bertindak bersembunyi daripada tempat awam (semasa PKP),” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, kementeriannya menerusi rakan daripada agensi strategiknya bersama polis turut meningkatkan usaha mengesani gelandangan berkenaan sejak 24 Mac, tetapi ini sekadar langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah itu di negeri ini.

“Kami sedang berusaha ke arah satu penyelesaian kekal, dengan memulakan satu projek perintis di Sibu berdasarkan kepada kajian yang dijalankan di Jepun. Ia akan menjadi usaha kami bagi membantu gelandangan secara lebih produktif,” katanya.
 
Sementara itu, Fatimah berkata, 67 individu yang dikesan itu semasa tempoh PKP telah ditempatkan di pusat transit sementara di seluruh negeri ini, yang kebanyakan mereka dikesan di Bahagian Miri seramai 44 orang, disusuli Sibu (17), Kuching (14),  Bintulu (13) dan selebihnya bahagian lain negeri ini.

“Lapan orang ditempatkan sementara di Anjung Singgah, Kuching, empat di Rumah Rehat Kerajaan di Sibu, lima di Asrama Belia Kompleks Sukan Sarikei, 31 di Dewan Serbaguna Persatuan Red Cresent Miri dan enam di Rumah MAKSAK Limbang,” katanya.

Ketika berada di pusat transit itu, gelandangan berkenaan akan disediakan dengan tiga kali hidangan makanan sehari, satu bekas alat penjagaan kebersihan peribadi dan beg tidur serta menjalani saringan kesihatan dan ujian air kencing, dengan dana diperuntukkan menerusi Jawatankuasa Bahagian Pengurusan Bencana.
Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menjalankan ujian saringan kesihatan kepada golongan gelandangan itu dan jika mereka didapati mempunyai tanda-tanda COVID-19, mereka akan dirujuk ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

“Kebajikan golongan (gelandangan) ini diberi perhatian kerana mereka tidak berkeupayaan semasa PKP… tanpa tempat tinggal dan menghadapi masalah untuk mendapatkan makanan dan derma orang ramai berbanding pada hari-hari biasa,” tambah beliau.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »