BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Penganut Kristian hayati minggu suci menerusi platform digital

KUALA LUMPUR, 2 April -- Gereja di seluruh negara akan menggunakan laman sosial bagi membolehkan penganut Kristian menghayati Minggu Suci sebelum sambutan Easter susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang perhimpunan ramai di rumah ibadat.

Minggu Suci penganut Kristian bermula Ahad ini yang dinamakan Ahad Palma bagi memperingati kemasukan Nabi Isa ke kota Baitulmuqaddis disusuli ‘Good Friday’ (hari Nabi Isa disalib) dan Easter (hari kebangkitan Nabi Isa).

Tahun ini, Jumaat Agung jatuh pada 10 April dan Easter pada 12 April.

Bagaimanapun, penganut Kristian tidak dapat mengikuti upacara sembahyang di gereja kerana lanjutan tempoh PKP berkuat kuasa sehingga 14 April dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan larangan semua bentuk perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan dan sosial serta perhimpunan keagamaan sehingga 30 April ini.
 
Tinjauan dalam laman sesawang menunjukkan majlis Biskop Katolik Semenanjung Malaysia telah menggantungkan semua upacara sembahyang mingguan dan aktiviti keagamaan harian mulai 14 Mac hingga 14 April ini.

Laman sesawang itu menyebut pengikut Katolik boleh mengikuti upacara sembahyang menerusi dalam talian di alamat https://www.youtube.com/c/ArchklOrg dan https://archkl.org/index.php/tv-archkl-org.

Jadual bulan ini juga turut tertera dalam laman sesawang itu.

Paderi Gereja St Anthony, di Teluk Intan, Perak, Rev. David Lourdes, berkata penganut digalak sembahyang secara beramai-ramai dalam talian.

“Pengikut Katolik boleh mengikuti semua upacara sembahyang dalam platform digital. Saya rasa upacara sembahyang secara beramai-ramai dalam talian dikendalikan serentak oleh dua atau tiga kawasan uskup. Ini adalah persediaan yang dilakukan untuk Minggu Suci ini,”  katanya.

Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM), Rev. Dr Hermen Shastri, berkata pihak gereja di negara ini akan membuat penstriman langsung upacara sembahyang dan ceramah di pelbagai platform media sosial yang penganut mempunyai akses internet.
 
Selain itu, rakaman upacara sembahyang turut dimuat naik bagi individu dan keluarga, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penganut Kristian menghargai usaha yang dijalankan oleh pihak gereja dan memahami langkah tersebut diambil pada masa yang luar biasa ini.

Dua gereja di Lembah Klang turut merancang aktiviti keagamaan masing-masing sempena Minggu Suci bermula Isnin ini hingga Easter, Ahad.

Paderi Gereja Methodist Tamil Sentul dan Gereja Methodist Gateway, Kelana Jaya, Rev. Justin Clarence, berkata aktiviti keagamaan termasuk doa harian, ceramah dan tafakur dalam talian turut disediakan menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata pada hari Easter, kira-kira 500 penganut daripada kedua-dua gereja itu dapat mengikuti upacara sembahyang dan ceramah dalam talian yang akan dikendalikan oleh Presiden Persidangan Tahunan Gereja Methodist Tamil, Rev. Dennis Raj.

Sebelum itu, rakaman ceramah Jumaat Agung akan disiarkan dalam laman rasmi Facebook gereja tersebut, katanya.

Selain upacara keagamaan, Rev. Justin turut memaklumkan bahawa anggota gerejanya turut menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan semasa tempoh PKP.

Sementara itu, seorang penganut, Jessica Loh Pui Yin, 27, dari Gereja City Tabernacle Kuala Lumpur, berkata beliau akan merindui upacara sembahyang mingguan khususnya pada hari Jumaat Agung dan Easter.

“Tetapi kami diajar bagaimana untuk mengadakan upacara sembahyang di rumah. Bagi sembahyang hari Jumaat Agung dan Easter, kami akan menggunakan format yang diberi oleh paderi dan mendengar ceramah rakaman dalam Facebook,”  katanya.

Bagi Vincent Yanapragasam, 31, dari Gereja St Anne di Pelabuhan Klang, beliau akan mengikuti ceramah Jumaat Agung dan Easter dalam talian bersama ahli kelurganya.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »