BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pelajar UNIMAS tak sabar jumpa keluarga


KUCHING, 30 April (Bernama) -- Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Beatrice Nadiana Junid antara 127 pelajar yang terlibat dalam penghantaran pulang mahasiswa ke kediaman masing-masing di negeri ini hari ini tidak sabar untuk bertemu keluarga.

Manakan tidak, pelajar jurusan doktor perubatan berusia 20 itu sudah tiga bulan tidak pulang ke kampung halamannya di Permai Jaya di Sibu, kira-kira 312 kilometer dari bandar raya Kuching.

Sebaik mengetahui berita kebenaran pulang itu semalam, beliau terus menghubungi keluarga dan memaklumkan berita gembira berkenaan, katanya kepada Bernama ketika ditemui di UNIMAS sebelum beliau dan rakan-rakannya berlepas pada kira-kira 10.30 pagi ini.

Ibu bapa Beatrice merupakan petugas barisan hadapan di Sibu, ibunya jururawat dan bapanya penolong pegawai perubatan.


“Ibu bapa saya selalu memberi nasihat sewaktu saya di kolej kediaman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, antaranya jangan malu untuk memakai penutup mulut dan hidung semasa di luar, kerap cuci tangan dan menjaga jarak sosial,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata sebanyak 127 pelajar berlepas pulang hari ini dengan kebanyakannya ke Sibu.

“Kita menggunakan kaedah yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan setiap bas hanya dibenarkan untuk membawa 20 orang pelajar dan bas terbabit juga telah disanitasi,” katanya.

Beliau berkata penghantaran pelajar UNIMAS ke Semenanjung dan Sabah melibatkan 2,900 pelajar akan bermula esok.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »