BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pekebun kecil perlu dapatkan permit merentasi daerah - Uggah


KUCHING, 1 April -- Para pekebun kecil di Sarawak perlu mendapatkan permit atau kebenaran pergerakan merentasi daerah di pejabat daerah sekiranya ladang mereka terletak di luar dari daerah tempat tinggal mereka, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau berkata, ini bagi mengelakkan pergerakan mereka dipersoalkan oleh pihak berkuasa keselamatan sekiranya lori yang dibawa tiada membawa sebarang muatan sewaktu melalui sekatan jalan raya yang dijalankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

“Begitu juga di kawasan-kawasan luar bandar, mereka (pekebun kecil) masih boleh menoreh getah dan ke kebun lada. Bagi pekebun yang tinggal di Kuching tapi kebunnya terletak di daerah Bau, mereka perlu ada permit,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Uggah, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk membuka semula pasar tani di seluruh negeri ini bagi membolehkan petani dan pekebun menjual hasil tanaman mereka.

“Yang penting semua perlu mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP ini dan perkara (pasar tani) ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut lagi dengan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya.

Mengenai persediaan untuk menghadapi kemungkinan gelombang ketiga sekiranya kes positif COVID-19 meningkat, Uggah berkata tindakan strategik seperti proses disinfeksi akan dilaksanakan di lokasi yang telah diklasifikasikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan keadaan semasa dapat dikawal.

“Saya harap tidak ada gelombang ketiga (akan berlaku), sebab itulah MKN telah mengenalpasti kawasan berkenaan dan telah menjalankan proses sanitasi dan semburan bahan kimia, selain mengawal pergerakan awam. Sebab itulah pematuhan PKP di antara daerah-daerah begitu penting,” katanya.

Dalam pada itu, Sarawak hari ini mencatatkan 32 kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah kes meningkat kepada 188 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac.

Daripada 32 kes itu, 31 dari Kuching dan satu kes dari Samarahan, dengan kebanyakan kes positif yang dilaporkan hari ini terdiri daripada mereka yang telah membuat saringan kesihatan di Kompleks Belia dan Sukan di sini.

Justeru itu, Uggah meminta orang awam yang mempunyai kontek rapat dengan mana-mana kes positif agar pergi membuat saringan dengan kadar segera agar rantaian COVID-19 ini dapat diputuskan.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »