BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Orang Utan bina sarang dekat titian kanopi

RANAU, 18 April (Bernama) -- Ketiadaan pelancong di kawasan Mata Air Panas Poring di sini ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin antara faktor Orang Utan mula mendekati kawasan pelancongan yang terletak di dalam kawasan Taman Kinabalu itu.

Kehadiran hidupan liar itu disedari melalui kewujudan sarang bersaiz 70 hingga 80 sentimeter (sm) di sebatang pokok pada ketinggian 10 meter dari paras tanah berhampiran titian kanopi substesen mata air panas itu.

Pegawai Penyelidik Zoologi, Taman-Taman Sabah (TTS), Fred Tuh Yit Yu menyedari kewujudan sarang yang dibina oleh haiwan itu itu ketika menjalankan pemantauan dan mengambil gambar kawasan berkenaan Khamis lalu.

Beliau berkata sebelum PKP memang sukar untuk melihat sarang Orang Utan di kawasan itu kerana ia sering menjadi tumpuan pengunjung.

"Kebarangkalian untuk melihat sarang Orang Utan berhampiran titian kanopi memang sukar dan apabila PKP dilaksanakan, haiwan ini mula mendekati kawasan mata air panas," katanya kepada Bernama, hari ini.
 
Fred berkata haiwan itu biasanya hanya kelihatan di kawasan Air Terjun Langanan yang terletak kira-kira empat kilometer dari titian kanopi berkenaan.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan Orang Utan yang mendekati kawasan air panas Poring berkenaan ialah antara empat ekor Orang Utan berusia antara dua hingga empat tahun yang mereka dipelihara sebelum dilepaskan ke dalam hutan selepas tamat tempoh pemuliharaan 10 tahun lalu.

"Pada awal dilepaskan, Orang Utan itu masih datang ke pusat pemuliharaan untuk meminta makanan tetapi kini hidupan itu tidak lagi kembali ke sini," katanya.

Pada masa itu, katanya, haiwan berkenaan dihantar oleh penduduk kampung sekitar TTS dan kawasan lain sebelum diletakkan di pusat pemuliharaan kerana ia masih memerlukan penjagaan selain membantu haiwan itu menjalani kehidupan di habitat asal.

"Biasanya, Orang Utan dewasa akan membina sarang yang besar dan tebal berbanding dengan Orang Utan yang lebih muda," katanya.
-- Bernama

Kredit Gambar Fred Tuh

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »