BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Nyah cemar, KKM akan keluarkan garis panduan


PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan garis panduan dan nasihat mengenai pelaksanaan proses nyah cemar yang betul dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata KKM akan berkomunikasi dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pejabat majlis daerah mengenai proses tersebut. 

“KKM akan melihat bagaimana proses nyah cemar boleh dilaksanakan ikut prosedur operasi standard (SOP) KKM. 

“Antara perkara yang akan diambil kira dalam garis panduan KKM ialah bahan kimia yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya pada sidang media harian perkembangan wabak COVID-19, di sini hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa pihak yang mempertikai pelaksanaan proses nyah cemar oleh pihak berkuasa tempatan bermula semalam.
 
Tambah beliau, proses nyah cemar di tempat awam seperti pasar yang bermula Isnin dilaksanakan lebih awal daripada garis panduan yang akan dikeluarkan KKM.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengurusan bazar ramadan tahun ini , katanya ia boleh diteruskan dengan mengikut SOP ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19.

Antara SOP tersebut adalah menjaga kebersihan gerai jualan, mengawal kesesakan orang ramai dan menjaga penjarakkan sosial, serta memastikan tangan sentiasa bersih. 

"Kami (KKM) akan memaklumkan kepada mereka apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, sama seperti pelaksanaan pasar tani," katanya. 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media tengah hari tadi berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membuka pusat jualan barangan segar terkawal di 77 lokasi di seluruh negara sebagai mengurangkan kesesakan di pasar basah sedia ada.

Sebelum ini, pasar tani tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. 
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »