BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Nelayan disambar buaya

SRI AMAN: Seorang nelayan hilang selepas disambar buaya ketika memukat ikan di Sungai Batang Lupar, berhampiran Kampung Melayu Tanjung Bijat di sini, kira-kira jam 2 petang tadi.

Mangsa Yanha Mahrat, 29, dari Kampung Tengah ketika kejadian sedang menarik pukat di tengah sungai seorang diri.

Tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum disambar buaya.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superitendan Bingkok John berkata, mangsa ketika kejadian menarik pukat di tengah sungai manakala tiga saudaranya berada tidak jauh dari tempat kejadian.

"Ketika menarik pukat mangsa tiba-tiba menjerit meminta tolong daripada tiga saudaranya yang berada tidak jauh dari tempat kejadian dan terus tenggelam.

"Mangsa dipercayai ditarik buaya ke dasar sungai," katanya dalam kenyataan.

Bingkok berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dilancarkan di sekitar sungai berkenaan, sejurus laporan mengenai kejadian diterima sekitar jam 3 petang.

Menurutnya, operasi SAR melibatkan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »