BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

MYEG jadi platform rakyat S’wak bayar zakat

KUALA LUMPUR: MY E.G. Services Bhd (MYEG) menjadi platform bagi penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Kedah, Sabah dan Sarawak untuk menunaikan zakat fitrah secara dalam talian pada Ramadan tahun ini berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang masih berkuatkuasa.

Pengarah Eksekutifnya Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata enam agensi zakat bagi negeri yang terlibat adalah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Pusat Pungutan Zakat-Majils Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBMAINS), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata MYEG sebagai peneraju perkhidmatan e-kerajaan amat berbesar hati dengan penyertaan agensi-agensi ini bagi memudahkan individu menunaikan zakat fitrah berbanding kebiasaan yang dilakukan secara bersemuka. 

"Dengan perkembangan terbaharu di negara ini, jumlah mereka yang menggunakan platform dalam talian untuk sesuatu urusan semakin meningkat. Oleh itu, MYEG mengambil peluang ini untuk melaksanakan kewajipan di bulan Ramadan dengan lebih selesa dan boleh dilakukan pada bila-bila masa,” kata beliau.

Menurut Raja Munir Shah, individu yang ingin mengakses perkhidmatan itu boleh melayari www.myeg.com.my dan perlu mempunyai akaun di portal MYEG sebelum membuat pilihan pembayaran zakat mengikut agensi serta kadar yang telah ditetapkan. 

Kadar zakat fitrah yang telah ditetapkan adalah seperti berikut: LZS (RM7, RM14, RM21), PPZ MAIWP (RM5, RM7), PBMAINS (RM7), LZNK (RM5, RM7, RM14, RM21), MUIS (RM6, RM7.50) dan TBS (RM7).

"Pembayaran boleh dilakukan sama ada menerusi kaedah perbankan dalam talian atau kad kredit. Sebagai alternatif, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi mudah alih MYEG di Google Play Store yang ketika ini hanya disediakan untuk pengguna Android," katanya.

Beliau berkata zakat fitrah boleh dibayar mulai 24 April sehingga malam terakhir Ramadan pada 23 Mei 2020 dan perkhidmatan ini beroperasi selama 24 jam seminggu. 

"Sebagai sebuah syarikat teknologi maklumat terkemuka di Malaysia, MYEG memberi jaminan keutamaan keselamatan dalam menyimpan data peribadi setiap individu yang melakukan transaksi," katanya.

Untuk sebarang bantuan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan MYEG di 03-7801 8888 atau e-mel kepada help@myeg.com.my. 

Orang ramai juga boleh menghantar mesej di laman sosial MYEG iaitu Facebook: Friends of MYEG dan Twitter: @myegclub sekiranya memerlukan bantuan berkaitan perkhidmatan ini.  - Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »