BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Melepak, keluar rumah, 23 lelaki dipenjara tujuh hari, denda RM1,000

SUNGAI PETANI, 20 April (Bernama) -- Seramai 23 lelaki hari ini dipenjara tujuh hari dan didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar daerah Kuala Muda pada 27 Mac hingga 13 April lepas.

Majistret Arif Mohamad Shariff menjatuhkan hukuman itu terhadap kesemua tertuduh yang berumur antara 18 hingga 41 tahun selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan yang antaranya keluar melepak bersama rakan dan keluar dari tempat tinggal mereka.

Mahkamah memerintahkan kesemua mereka menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan juga penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Kesemua tertuduh didakwa mengingkari Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Di mahkamah sama, seorang pengarah syarikat kilang kitar semula dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM10,000 kerana  membenarkan dua pekerjanya bekerja tanpa kebenaran semasa pelaksanaan PKP.

Arif memerintahkan Ong Lin-Tjong, 39, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan sekiranya gagal membayar denda itu tertuduh boleh dipenjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Ong didakwa membenarkan Muhamad Hanif Ishak, 23, dan Mohamad Izral Taib, 44, berhimpun dalam kawasan Kilang Privilege Industry Sdn Bhd di Kawasan Perusahaan Bakar Arang, di sini yang merupakan kawasan jangkitan bagi tujuan sosial pada 11.50 malam, 4 April lepas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988  yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta  sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husnah Omar manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.         

- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »