BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Mayat tergantung di Pulau Gaya positif Covid-19

KOTA KINABALU, 13 April (Bernama) -- Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identiti dan dipercayai warga asing, yang ditemui tergantung di pokok di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya di sini, pada 6 April lepas, didapati positif COVID-19.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata, kesemua 12 anggota polis yang bertugas mengendalikan mayat berkenaan, sudah diarahkan menjalani saringan kesihatan.

“Semua yang terlibat sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin diri di rumah masing-masing. Keputusan ujian saringan itu dijangka siap hari ini. Kita mendoakan semua anggota terlibat selamat daripada jangkitan virus berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Habibi berkata, kesemua anggota yang bertugas ketika itu telah mengambil langkah-langkah pemakaian selamat, termasuk memakai penutup hidung dan mulut, dan sarung tangan.

Sementara itu, beliau berkata mayat lelaki itu masih belum dituntut, dan setakat ini kes tersebut masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi, 6 April lepas, seorang lelaki tanpa identiti dipercayai warga asing, ditemui tergantung di pokok di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya.

Mayat lelaki itu ditemui penduduk di kawasan bukit di kampung berkenaan, sebelum mereka menghubungi polis. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat, sebelum disahkan positif COVID-19 pada Sabtu lepas.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »