BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Mata budak tertusuk besi ketika tukar tayar

KOTA BHARU: Niat baik seorang kanak-kanak membantu ayahnya menukar tayar kereta bertukar tragedi apabila mata kanannya tertusuk besi pemegang tayar ganti dalam kejadian di Jalan Bayam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, kanak-kanak berusia 10 tahun itu dipercayai cuba mengambil tayar ganti di belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora milik bapanya sebelum kejadian ngeri itu berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 8.54 malam.

Katanya, seramai sembilan anggota dan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu jentera Bantuan 

Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi diketuai Ketua Operasi Mohd Zaidi Yahya.

“Ketika tiba di lokasi, didapati besi itu tepat tertusuk ke dalam mata kanan kanak-kanak terbabit yang ketika itu berada di bawah bahagian belakang kereta.

“Bomba mengambil masa hampir satu jam memotong besi itu sebelum berjaya membawa mangsa ke hospital bersama besi yang masih melekat di dalam matanya,” katanya dalam laporan Berita Harian.

Beliau berkata, besi berkenaan tertusuk kira-kira satu inci di dalam mata kanak-kanak itu.

Zukeri berkata, bapa kanak-kanak itu memaklumkan sebelum kejadian berlaku, dia dan dua anaknya berada di halaman rumah untuk menukar tayar kereta hadapan 
bahagian penumpang.

“Kanak-kanak itu dan abangnya cuba membantu bapanya mengambil tayar ganti sebelum dia terkejut apabila melihat mata anaknya sudah tertusuk besi itu.

“Bomba pada mulanya menghadapi sedikit kesukaran untuk membawa keluar kanak-kanak itu dari bawah kereta 
sebelum mengambil keputusan memotong tapak besi pemegang tayar ganti itu 
menggunakan alat pencanai dan pemotong khas.

“Proses memotong besi itu terpaksa dilakukan dengan perlahan dan berhati-hati bagi mengurangkan pergerakan besi yang tertusuk dalam mata kanak-kanak itu,” katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat itu antara operasi sukar yang dilalui 
anggotanya.

“Bagaimanapun, bomba turut kagum dengan semangat kanak-kanak itu juga dilihat cuba menguatkan diri dan tidak merengek atau menangis sepanjang kami cuba 
memotong besi itu,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Raja 
Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »