BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Malaysia jalankan "Kajiselidik Solidariti" global - Penyelidikan uji rawatan berpotensi Covid-19

 PUTRAJAYA, 6 April -- "Kajiselidik Solidariti", yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), akan menyaksikan penglibatan Malaysia dalam usaha antarabangsa untuk menguji beberapa ubat dalam merawat COVID-19.

Kajiselidik yang diselaraskan oleh WHO di seluruh dunia ini adalah satu usaha yang julung kali dilakukan bagi mengumpul data yang boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan dan keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir / Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian telah menyegerakan proses pelaksanaan kajiselidik ubat untuk merawat pesakit COVID-19 yang akan bermula tidak lama lagi. Sebanyak sembilan buah hospital akan terlibat iaitu Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth.

"Pandemik global ini menjejaskan lebih 180 buah negara, dan salah satu daripada ubat-ubatan ini adalah harapan terbaik untuk merawat orang yang dijangkiti COVID-19," kata Dr Ying-Ru Lo, Ketua Misi dan Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura. "Inilah peluang kita, sebagai sebuah komuniti global, untuk menentang gelombang pandemik ini. Malaysia akan menjadi rakan kongsi yang penting dalam kajiselidik ini untuk menilai rawatan yang berpotensi yang lebih berkesan, dan menyelamatkan nyawa dalam pertempuran global untuk melawan virus ini."

Penyelidikan ini akan diketuai oleh Dr Chow Ting Soo, Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang dengan pasukan yang terdiri daripada 16 Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dan ahli farmasi sebagai Penyelidik Bersama di hospital-hospital KKM masing-masing. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan bahawa kajiselidik tersebut akan mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Penyertaan Malaysia dalam kajiselidik sedunia ini dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa untuk COVID-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya," kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Beliau menambah bahawa Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM dan Clinical Research Malaysia (CRM) akan membantu memudahkan pelaksanaan inisiatif kajiselidik WHO di Malaysia.

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Hubungan Media KKM
Nama: Dr Goh Pik Pin
Tel: 013 3336822
E-mel: gohpp@moh.gov.my

Hubungan Media WHO
Nama: Dr Cory Couillard
Tel: 017 6487520
E-mel: couillardc@who.int

--BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »