BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Mahkamah tinggi arah dua pemancing jalani hukuman khidmat masyarakat


TAIPING, 8 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan dua lelaki, yang sebelum ini dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan bagi kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana keluar memancing ikan untuk dijadikan makanan dan bukan untuk dijual, menjalani hukuman khidmat masyarakat selama tiga bulan.  

Pesuruhjaya Kehakiman K. Muniandy memerintahkan Chin Chee Wei, 45, dan Chong Poh Wah, 56, menjalani hukuman khidmat masyarakat selama empat jam sehari selepas PKP ditarik balik.

Kedua-dua tertuduh juga perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada setiap Isnin mengikut Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 selagi PKP berkuat kuasa. 

Beliau berkata jika kedua-dua tertuduh gagal melapor diri di IPD Sungai Siput, mereka boleh ditangkap dan didakwa semula mengikut Perintah 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan jenayah kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Balakrishna Balaravi Pillai terhadap keputusan Mahkamah Majistret Sungai Siput pada 3 April lepas.
 
Chin dan Chong, yang bekerja sebagai buruh, terpaksa menjalani hukuman penjara di Penjara Tapah selepas gagal membayar denda.

Mereka mengaku melanggar PKP apabila keluar memancing di sebuah kolam di Kampung Baru Rimba Panjang, Sungai Siput pada 1 April lepas.

Kedua-dua tertuduh mendakwa mereka hanya cuba menyediakan makanan untuk keluarga.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz membantah permohonan itu atas alasan ingin memberi pengajaran kepada masyarakat. 

Balakrishna kemudian memaklumkan pihak media bahawa anak guamnya akan dibebaskan petang ini dan mereka juga tidak perlu membayar denda tersebut berikutan keputusan mahkamah hari ini yang mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret.
-- BERNAMA

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »