BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Lebih 900 pelajar Malaysia masih di Indonesia


JAKARTA, 20 April (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia memantau rapi keadaan pelajar Malaysia yang masih berada di Indonesia menerusi kerjasama bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) dan pihak berkuasa tempatan.

Sebanyak 2,799 pelajar Malaysia di Indonesia telah kembali ke tanah air sejak berlakunya penularan pandemik COVID-19, manakala 989 pelajar masih lagi berada di Indonesia, bagi mengikuti pengajian atau sedang menghadapi peperiksaan tahun akhir secara dalam talian atau masih dalam proses penyelesaian visa pelajar.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Zainal Abidin Bakar berkata pihak kedutaan dan Education Malaysia di Indonesia (EMI) sentiasa berhubung menerusi sidang video bersama wakil-wakil PKPMI di seluruh Indonesia bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan keadaan mereka.

"Kita juga meminta mereka sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, menjaga kebersihan, melakukan jarakan sosial, selain mendapatkan info terkini berkenaan apa juga masalah yang mereka hadapi untuk kita kenal pasti bentuk-bentuk bantuan yang boleh kita lakukan," katanya.

Pada sidang video hari ini bersama wakil-wakil PKPMI, Zainal Abidin turut meminta mereka membantu mengesan sekiranya masih ada pelajar- pelajar dari Malaysia yang mengikuti pengajian di pesantren (pengajian di pondok agama) untuk mendaftar dengan PKPMI.

Pada sidang video bersama Yang Dipertua (YDP) PKPMI Medan, Muhammad Syazwan Basri, YDP PKPMI Aceh, Muhammad Syafiq Ismail (YDP PKPMI Aceh), YDP PKPMI Bali, S K Dharshinee, YDP PKPMI Ponorogo, Yusuf Mohd Suhair dan wakil PKPMI Surabaya H. Hasvene Kaur itu, dan semua mereka menyatakan keadaan pelajar Malaysia masih berada dalam keadaan baik.

Antara perkara yang dibangkitkan kepada pihak kedutaan dan EMI adalah berkaitan yuran pengajian penuh yang masih perlu dibayar sekalipun mereka kini hanya mengikuti pengajian menerusi dalam talian, selain harga tiket penerbangan yang semakin mahal untuk mereka pulang ke tanah air.
-- Bernama

Mahu lebih banyak info? Join channel Telegram Gagodaily

« PREV
NEXT »